
Di tengah hiruk-pikuk ibu negara Kuala Lumpur yang dipenuhi dengan pencakar langit terdapat ribuan warisan seni dan budaya yang ‘terselit’. Nilai khazanah ini menjadi fokus utama Festival Kreatif KL yang sedang berlangsung hampir tiga bulan dari 5 September hingga 30 November.
Program bertaraf antarabangsa ini, yang dianjurkan oleh ThinkCity dengan lebih 100 acara melibatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta beberapa kementerian dan agensi lain.
Majlis perasmian yang diadakan pada hari Khamis, dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut menyokong festival ini untuk menjadi acara tahunan seperti yang diharapkan oleh penganjurnya.
“Festival ini bertujuan mempromosikan seni, budaya dan warisan Kuala Lumpur kepada khalayak yang lebih luas.
“Saya berharap ini jadi pemangkin untuk membantu memacu Tahun Melawat Malaysia 2026 apabila kita sasarkan kehadiran 36 juta pelancong dan mencapai sasaran pendapatan pelancongan RM147.1 bilion,” ujarnya.
Dr Zaliha juga berharap Festival Kreatif KL dapat ‘mengubah’ persepsi bahawa seni hanya perlu dipamerkan di galeri sahaja. Beliau berpendapat bahawa seni mempunyai makna yang lebih luas dalam menyampaikan sesuatu, terutama dengan kehadiran teknologi lestari yang seharusnya menyokong perkembangan ibu kota.
Harapan yang sama turut disuarakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang menyasarkan festival ini dapat menarik kehadiran 70,000 pengunjung.
Pengarah Urusan ThinkCity, Datuk Hamdan Abdul Majeed menegaskan bahawa warisan seni harus dihargai kerana ia memberikan pulangan ekonomi yang signifikan dan dapat memperkasa komuniti tempatan.
Festival Kreatif KL bertujuan untuk menarik sekitar 70,000 pengunjung dengan menawarkan pelbagai acara seperti pameran seni, pertunjukan fesyen, persembahan teater dan muzik, lawatan interaktif serta pengalaman kulinari.
Untuk maklumat lanjut dan aturcara program, pengunjung boleh merujuk laman sosial rasmi Kreatif KL.