
Selepas tiga dekad dalam industri seni dengan 18 album solo dan kompilasi, Datuk Nora Ariffin merupakan antara penyanyi popular negara yang masih relevan hingga hari ini. Walaupun telah lama berkecimpung dalam dunia hiburan termasuk sebagai pemenang Bintang HMI 1991 dan pelantun lagu hit “Renungan Terakhir”, beliau masih belum berpeluang mengadakan konsert solo.
Nora yang berasal dari Kelantan mengakui bahawa beliau menghadapi kesukaran dalam mendapatkan penaja dan sering berasa kecewa serta hampir berputus asa terutama melihat pendatang baharu yang lebih mudah mengadakan konsert sendiri.
Namun, program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik yang ditawarkan oleh Kementerian Komunikasi telah memberi harapan baru kepada Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin dengan peluang untuk memohon geran bagi menyokong penganjuran konsert solonya.
“Selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi yang juga komposer pada 2017, saya hampir putus asa untuk mengimpikan sebuah konsert solo kerana hilang tempat bergantung selain beberapa kali kertas kerja berkaitan konsert dikemukakan kepada pihak tertentu ditolak.
“Meskipun ada cabaran, Alhamdulillah dikelilingi orang-orang baik dan keyakinan mereka terhadap saya, maka perancangan mengadakan konsert solo pertama dapat direalisasikan menerusi kelulusan geran tersebut. Sekian lama menunggu saat ini, saya pasti akan berikan yang terbaik untuk para peminat saya,” katanya.
Ditemui pada sidang media baru-baru ini mengenai konsertnya, Nora yang terkenal dengan album pertama fenomenalnya, Sandiwara yang terjual sebanyak 100,000 unit dan mempunyai peminat di Brunei serta Indonesia akan mengadakan konsert solo pertamanya pada 18 Disember depan.
Konsert yang diberi judul ‘Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin (30 Years Journey)’ ini pasti akan menjadi tumpuan peminat penyanyi kesayangan ramai ini selepas sekian lama menunggu untuk menyaksikan persembahan dan kehebatannya secara langsung. Penonton akan dihiburkan dengan lagu-lagu bergenre pop, balada dan R&B.
“Apabila dapat tahu permohonan geran kerajaan diluluskan, ia umpama semangat dan pendorong kuat kepada saya dan pasukan untuk meneruskan perancangan konsert walaupun risau ada kekangan lain selepas ini.
“Saya amat menghargai bantuan kerajaan dalam memberi peluang kepada artis-artis seangkatan saya untuk mengadakan konsert solo, sekurang-kurang sekali dalam seumur hidup sebagai anak seni,” kata Nora yang merakam lebih 100 buah lagu sepanjang kariernya dalam industri muzik negara.
Sementara itu, pengurus konsert, Alita Aris menjelaskan bahawa pemilihan PJ Pac sebagai lokasi konsert Nora adalah untuk memberikan pengalaman eksklusif kepada peminat setia dan penyokong tegarnya selama 30 tahun.
Konsert ini juga akan menampilkan sentuhan dari individu berpengalaman dalam industri muzik tempatan, seperti Jennifer Thompson sebagai pengarah persembahan dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.
Berdurasi dua jam, Nora akan mempersembahkan 17 lagu popular dan malar segar daripada 18 albumnya termasuk Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, Jentayu dan banyak lagi.
Sebagai tambahan, konsert ini akan menampilkan segmen khas ‘Tribute to Johan Nawawi’ sebagai penghormatan kepada Allahyarham Johan Nawawi yang memainkan peranan penting dalam kerjaya Nora.
Tiket konsert boleh didapati di http://www.onetix.com.my dengan harga antara RM108 hingga RM518. Konsert ini dibawakan khas oleh syarikat Nora, Johan Nawawi Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures.