
Drama sejarah Jepun, Shogun telah mencipta sejarah baharu dengan meraih 18 trofi di Anugerah Emmy ke-76 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kejayaan ini mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh siri mini John Adams dengan 13 trofi pada tahun 2008 serta Game of Thrones yang memenangi 12 trofi pada tahun 2015, 2016 dan 2019.
Shogun juga dinobatkan sebagai Siri Drama Terbaik menjadi siri drama bukan Bahasa Inggeris pertama yang memenangi kategori tersebut.
Pelakon dari siri ini, Hiroyuki Sanada dan Anna Sawai mencipta sejarah sebagai pelakon Jepun pertama yang memenangi kategori masing-masing.
“Saya amat berbesar hati untuk berada di sini dengan calon yang hebat.
Terima kasih untuk semua pelakon dan kru ‘Shogun,’ saya sangat berbangga dengan anda,” kata Sanada dalam ucapannya.
“Ia adalah projek impian ‘Timur bertemu Barat’, dan ‘Shogun’ mengajar saya bahawa apabila kita bekerja bersama, kita boleh membuat keajaiban,” tambah Sanada.
“Kita boleh mencipta masa depan yang lebih baik bersama-sama,” katanya lagi.
Selain memainkan watak utama Lord Yoshii Toranaga yang diilhamkan oleh kehidupan sebenar Tokugawa Ieyasu, Sanada juga merupakan penerbit bersama untuk Shogun.
Menurut laporan Japan Times, pelakon berusia 63 tahun itu adalah seorang veteran dengan hampir enam dekad pengalaman dalam filem dan televisyen di Jepun dan Hollywood.
Dengan pengalaman luasnya, beliau menyumbang kepakaran untuk memastikan gambaran yang tepat mengenai orang Jepun pada abad ke-17. Kemenangan bersejarah tersebut jelas mengejutkan seluruh kru drama itu.
“Saya menangis sebelum nama saya diumumkan,” kata Sawai kepada penonton ketika berucap di atas pentas.
Selepas mengucapkan terima kasih kepada pencipta rancangan Rachel Kondo dan Justin Marks kerana memberikannya peluang, Sawai turut melahirkan penghargaannya kepada Sanada.
“Terima kasih kerana membuka pintu dan terus membuka pintu untuk orang seperti saya,” katanya.