
Sebenarnya, lelaki ini tidak menghadapi masalah untuk membawakan watak yang memerlukan kepakaran dalam persilatan dan kemahiran menggunakan senjata kerana dia telah mempelajari seni pertahanan diri itu sejak berusia tujuh tahun.
Dalam tempoh tersebut, aktor popular Beto Kusyairy sudah pasti mahir dalam pelbagai teknik seni silat gayung sehingga bakatnya menarik perhatian pengarah untuk membawakan watak sebagai Wahid dalam filem hit, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Namun, walaupun dia mempunyai pengalaman dan ilmu persilatan, Beto yang nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman, 44 tidak mengambil ringan tanggungjawabnya kali ini sebagai seorang mahaguru silat.
Dia mengakui bahawa tugas ini adalah besar dan mencabar, terutamanya selepas dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-32. Dalam filem terbarunya, dia akan memegang watak sebagai pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Menggalas karakter mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim bukanlah perkara mudah. Pelakon yang pernah membintangi Bisik Pada Langit dan Imaginur ini telah mengambil pelbagai langkah persiapan selepas diberikan kepercayaan untuk memegang peranan tersebut dalam filem Gayong.
Ini termasuk berjumpa dengan beberapa guru tua yang mengenali Allahyarham selama lebih 20 tahun seperti Cikgu Awang Daud di Gurun, Kedah bagi memahami karakter mahaguru tersebut dan memperkemaskan lagi kemahirannya dalam seni silat gayung.
“Kita sedia maklum, waris dan rakan Allahyarham masih ada dan kita pula mahu mengangkat namanya… tanggungjawab menggalas watak ini sangat berat apatah lagi persepsi masyarakat sudah tentu tinggi untuk melihat hasilnya. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik hasil sokongan semua.
“Selain itu, hasil kajian saya mendapati Allahyarham adalah seorang berbadan tegap sehingga digelar pendekar sendo (kuat). Untuk itu, saya mengambil inisiatif dengan melantik jurulatih peribadi bagi menjalani latihan kecergasan di gimnasium selain menjaga diet pemakanan ketat,” katanya.
Beto yang ditemui pada sidang media dan pelancaran filem tersebut baru-baru ini, turut ditanya tentang sasaran bina badannya. Dia menyatakan bahawa dia tidak meletakkan sebarang target untuk itu tetapi berusaha untuk melakukannya sebaik mungkin dalam tempoh kurang sebulan sebelum melakonkan watak berkenaan.
Selain Beto, filem epik arahan Faisal Ishak ini juga dibintangi oleh bintang-bintang hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian. Penggambaran akan bermula pada 5 Oktober ini dan dijangka ditayangkan kepada penonton pada pertengahan tahun depan.
Beto telah beraksi dalam pelbagai genre selama hampir dua dekad namun dia mengaku tidak pernah mengimpikan untuk meraih sebarang anugerah di peringkat antarabangsa, walaupun bakat dan kemunculannya sentiasa dinanti-nantikan oleh peminat.
Baginya, bukan anugerah yang dicari sejak awal pembabitannya dalam industri, tetapi impak yang dapat dirasai oleh penonton melalui setiap karya lakonannya. Menurutnya, pengiktirafan yang paling berharga adalah apabila karya tersebut mampu membawa penonton ke arah yang lebih baik.
“Bagaimanapun, ia (anugerah) adalah bonus dan saya berterima kasih serta bersyukur kalau ada yang memberi. Saya tidak pernah memandang rendah anugerah tempatan kerana ia daripada negara sendiri dan (itu menunjukkan) peminat menonton dan menghargai karya kita.
“Tidaklah terfikir anugerah tempatan tidak setanding bakat saya. Kita kena sedar diri dan sedar ruang di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” katanya.