
KUALA LUMPUR: Malaysia dengan tegas menentang sebarang cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka dan menggesa penyelesaian kekal yang menghormati hak serta kedaulatan negara tersebut.
Menurut Wisma Putra, pemindahan paksa itu dianggap sebagai satu bentuk pembersihan etnik yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Wisma Putra juga menegaskan bahawa sebarang penyelesaian sebelah pihak yang menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri adalah tidak boleh diterima dan hanya akan memburukkan lagi konflik yang telah berlarutan lama.
“Malaysia kekal teguh dalam solidaritinya bersama rakyat Palestin.
“Satu-satunya jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat adalah melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Pendirian ini, menurut kenyataan tersebut, selaras dengan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara, yang dianggap asas kepada kestabilan jangka panjang di rantau tersebut.
Pada masa yang sama, Wisma Putra turut menggesa negara-negara yang belum mengiktiraf negara Palestin agar segera berbuat demikian serta menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam PBB.
Kenyataan itu menyebut bahawa seruan ini selaras dengan Resolusi Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam 2024 yang diterima pada 11 November 2024 yang menekankan pentingnya penyelesaian dua negara sebagai asas kepada keamanan di rantau ini.
Selain itu, Wisma Putra menyatakan sokongan terhadap usaha diplomatik melalui kerjasama antarabangsa, termasuk inisiatif yang sedang digerakkan oleh Global Alliance dan Kumpulan The Hague untuk memastikan keamanan berkekalan bagi rakyat Palestin.
Menurut Wisma Putra, tindakan-tindakan ini adalah langkah penting untuk menjamin keselamatan rakyat Palestin serta kestabilan Asia Barat secara keseluruhan.