Hiburan

Garis Panduan Penapisan Filem Patut Dihormati dan Diterima

Pengkarya seni memberi sambutan positif terhadap Garis Panduan Penapisan Filem yang baru dikeluarkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Gambar kecil: Yusof Haslam dan Jurey

Datuk Yusof Haslam seorang penerbit dan pengarah terkemuka telah memberi respon yang positif terhadap Garis Panduan Penapisan Filem yang baru dikeluarkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Menurut beliau, garis panduan tersebut selaras dengan nilai-nilai Rukun Negara dan sepatutnya dihormati dan disokong oleh semua pengkarya seni.

“Kalau ikutkan sebelum ini pun sudah digariskan bahawa pembikin filem atau drama harus memastikan agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem.

“Jadi apabila diletakkan garis panduan baharu melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya, ia masih bertepatan dengan Rukun Negara.

“Apa yang penting kita tidak melakukan provokasi dalam seni dan setiap orang perlu menghormati apa yang ditetapkan oleh sesebuah negara itu,” katanya.

Beliau sebagai seorang penerbit juga mengharapkan agar sistem penilaian LPF tidak terlalu ketat. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa mesej yang ingin disampaikan dalam sesebuah karya dapat difahami oleh penonton.

“Jadi saya harap pertimbangan untuk sesebuah filem itu haruslah kena pada tempatnya supaya mesej yang ingin disampaikan jelas kepada penonton,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) melihat bahawa Garis Panduan Penapisan Filem tidak memberikan masalah besar kepada penerbit drama berbanding filem.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli menyatakan bahawa secara umumnya, penerbit drama akan mengikuti kehendak atau garis panduan yang ditetapkan oleh stesen televisyen sebelum proses penggambaran dimulakan. Selepas itu, drama tersebut akan dibawa kepada LPF bagi melalui proses penilaian dan tapisan.

Berbeza dengan pengeluaran filem, di mana pihak produksi menghasilkan karya tersebut terlebih dahulu dan kemudian penerbit perlu melalui proses tapisan LPF sebelum karya itu disiarkan, di situlah diketahui apa yang boleh dan tidak boleh ditayangkan.

“Aspek ini harus diteliti kerana sebagai pembuat filem, kalau boleh kita tidak mahu karya kita dipotong. Kita juga tidak mahu filem sudah siar, kemudian ditarik balik atau diharamkan.

“Jika boleh, hal ini perlu dielakkan dari peringkat awal dengan merujuk kepada LPF melalui garis panduan yang tidak samar-samar.

“Ada sesetengah bahagian yang dipotong boleh dirayu untuk tayangan, tapi ia ambil masa begitu lama. Bagi penggiat seni, setiap hari adalah duit,” ujarnya.

Malah Jurey juga melihat garis panduan baharu ini agak samar-samar untuk dijadikan rujukan buat penggiat industri tempatan.

“Garis Panduan Baru itu terlalu halus untuk diterjemahkan oleh pegawai LPF dalam membuat tapisan sekiranya golongan ini bukanlah terdiri daripada wakil penggiat industri.

“Dari segi kreativiti contohnya, simbol yang divisualkan mempunyai tafsiran tertentu dan ini hanya orang filem saja boleh faham bahasa filem,” jelasnya.

Oleh itu, Jurey mencadangkan agar LPF melantik wakil dari industri sebagai anggota panel mereka untuk menjaga keseimbangan dalam keputusan penapisan yang dibuat.

Pada masa yang sama, beliau juga mencadangkan bahawa pada peringkat awal selepas Garis Panduan Baru diluluskan, kerajaan perlu memastikan keterlibatan aktif dengan penggiat industri.

“Kami cadangkan wakil LPF untuk duduk bersama penggiat industri. Sebab kita perlu ada orang industri sendiri yang boleh melihat sub teks atau baca simbol tersurat mahupun tersirat dalam sesebuah filem.

“Ini mungkin boleh bantu tapis filem yang akan disiarkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Related posts
Hiburan

Bersedekah dan Istiqfar: Pesanan Nora Danish yang Dikongsi Shahrulezad

Nora menitipkan pesanan terutama kepada kaum wanita agar perbanyakkan istiqhfar dan…
Read more
Hiburan

Nazim Othman Akui Gagal Jadi Suami Terbaik, Pilih Kekal Bujang

Nazim Othman menyatakan bahawa dia lebih rela kekal bujang daripada menyakiti hati…
Read more
Hiburan

Saif Ali Khan Pulih Selepas Diserang Pisau, Polis Tangkap Suspek Warganegara Bangladesh

Mengenakan kemeja putih dan seluar jeans biru, beliau sempat bergambar dengan paparazi sebelum…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *