
Pada hari Isnin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menimbulkan kontroversi dengan mengundang kemarahan orang ramai apabila beliau menyatakan bahawa kempen pengeboman yang dilancarkan oleh sekutunya, Israel ke atas Gaza bukanlah genosid.
“Apa yang sedang berlaku bukan pembunuhan beramai-ramai,” kata pemimpin berusia 81 tahun itu ketika menyertai acara Jewish American Heritage Month di Rumah Putih untuk membincangkan tentang konflik berterusan rejim Zionis-Hamas.
Pada hari Isnin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah menukar pendiriannya secara tiba-tiba selepas mendapat maklumat bahawa pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mahu memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Beliau mengeluarkan kenyataan bertulis yang menyifatkan tindakan memohon waran tangkap itu sebagai keterlaluan. Biden juga membuat pusingan U dengan memberi sokongan kuat kepada Israel dalam usaha untuk menghapuskan pejuang Hamas.
Meskipun sebelum ini hubungan Biden bersama Netanyahu tegang, terutamanya berhubung ancamannya untuk menggantung penghantaran bekalan senjata kepada Tel Aviv, beliau kembali menyokong tindakan keras Israel meskipun terdapat bukti jelas tentang pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza, yang korban kini melepasi 35,500 orang.
Presiden Biden menghadapi tekanan menjelang Pilihan Raya Presiden pada November depan dan keupayaannya untuk terus memegang kuasa di Rumah Putih dipersoalkan banyak pihak, terutamanya berhubung faktor usia dan terdapat tanda-tanda sudah berada pada fasa nyanyuk yang semakin jelas.