
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan sumbangan kepada wartawan hiburan terkenal, Huzz atau nama sebenar Kamal Huzaini yang kini terlantar di hospital.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menyatakan bahawa sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, yang menziarahi Huzz pada hari Selasa.
“Hari ini (Selasa) setiausaha politik saya, Ahmad Farhan Fauzi menziarahi wartawan hiburan, saudara Huzz yang popular ketika era 80-an dan 90-an dahulu menerusi penulisan berkaitan dunia artis tanah air.
“Namun empunya badan atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat,” katanya.
Selain menziarah, Anwar menyatakan bahawa Ahmad Farhan juga memberikan sedikit bantuan daripada pihaknya untuk meringankan beban yang ditanggung.
“Saya amat berharap pemberian ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada saudara Huzz, Insya-ALLAH,” ujar beliau.