
Penampilan kumpulan pop rock tempatan, Spider dalam Konsert ‘Keluar Sarang’ 2024 yang dianjurkan oleh IFIX Entertainment pada Sabtu lalu, jelas memukau 2,400 peminat.
Konsert solo pertama tersebut menampilkan 20 lagu yang mendapat sambutan meriah dari peminat dari pelbagai generasi dan populariti Spider tidak berkurangan walaupun telah berada dalam industri seni hampir 30 tahun.
Vokalis Spider, Tam atau Rustam Mustafah berkata, dia bersyukur apabila sambutan yang diterima diluar jangkaan selain mengakui suasana paling ‘kecoh’ semasa konsert tersebut berlangsung antara momen terindah dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, konsert sulung yang kami idam-idamkan selama ini akhirnya jadi kenyataan kerana sudah lama tak beraksi di atas pentas berskala besar.
“Apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh peminat, ia sedikit sebanyak beri tenaga kepada kami, jadi saya nyanyi sahaja walaupun risau stamina pancit.
“Dari segi susunan muzik, kita bawakan pemain saksofon yang memang konsep awalnya ada itu semua, tetapi jarang digunakan.
“Kali ini memang kita guna semuanya,” katanya ketika sidang media selepas konsert di Zepp Kuala Lumpur.
Antara lagu terbaik dan malar segar yang dibawakan selama dua jam adalah Aladin, Kasih Latifah, Cinta Dewa Dewi, Laukku Cukup Masin, Nazraku Telinga Ke Tulang, Mabuk, Relaku Pujuk serta lain-lain lagi.
Kumpulan yang berasal dari Johor Bahru itu dianggotai Tam (penyanyi utama), Pown (gitaris), Eiz (bass) dan Aie (pemain dram).
Pelantun berusia 51 tahun terbabit memaklumkan, pihaknya kini dalam perancangan untuk mengadakan konsert seterusnya, namun tidak menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai butiran terbabit.
Tambahnya, penganjuran konsert memakan masa agak lama dan setiap perkara perlu diperhalusi serta tidak dicampur-aduk dalam satu masa.
“Jika ada rezeki nak buat konsert ulang tahun atau lain-lain, mungkin daripada situ kita buat ‘tribute’ kepada mereka yang pernah bersama-sama Spider.
“Sekarang ini, kami tampilkan single terbaharu berjudul Keluar Sarang dalam bentuk cakera ‘vinyl’, namun ia amat terhad. Alasannya kerana saya ramai kawan pengumpul barang sebegini.
“Apa pun, terima kasih saya ucapkan kepada peminat dan penganjur yang merealisasikan konsert ini,” ujar pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) 2004 itu lagi.
Sumber: Sinar Harian