
Tidak mahu terus berdiam diri selepas sering menjadi mangsa buli siber termasuk gangguan seksual, aktres Sophia Albarakbah kini aktif mengumpul bukti untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Menurut Sophia atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, dia sering menerima imej tidak senonoh dan kata-kata hinaan melalui media sosial.
Saya sering dapat mesej lucah di akaun Instagram saya, ada yang tergamak hantar gambar kurang sopan. Saya tak tahulah, adakah bagi mereka perkara itu lawak?
“Setiap hantaran yang dibuat, saya tunjuk kepada pengurus dan sekarang pengurus akan simpan bukti tersebut, termasuklah yang mesej maki saya.
“Saya akan teruskan dengan tindakan susulan mengikut saluran yang sepatutnya,” katanya.
Tambah wanita berusia 31 tahun itu, dia semakin tertekan dengan situasi tersebut kerana terpaksa menghadapi tindakan yang dianggapnya sebagai buli siber hampir setiap hari.
“Setiap hari bila buka Instagram, ada sahaja mesej yang masuk. Setiap hari ada, saya tak tengok tarikh tetapi banyak. Ada yang nampak benci sangat pada saya tanpa sebab.
“Itu belum lagi yang hantar kata-kata lucah, gambar tidak senonoh. Kalau orang itu normal, pasti dia tidak akan buat perkara seperti ini. Ini sudah tentu perbuatan seseorang yang psiko,” ujarnya kesal.