
Penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, ALVN kini merealisasikan salah satu impian besar beliau melalui pelancaran album studio penuh bertajuk ‘between the lines’.
ALVN atau lebih dikenali sebagai Alvin Chong di kalangan peminat tempatan, baru-baru ini melancarkan single pertama berjudul ‘rescue me’.
Lagu ini dihasilkan oleh Hyuk Shin dan Seann Bowe dengan lirik ditulis bersama oleh Bowe dan ALVN sendiri.
Lagu ini membawa pendengar menyelami perasaan peribadi ALVN, menceritakan tentang kesedaran bahawa cinta mungkin bukan untuk semua orang terutama apabila melihat rakan-rakan rapat menemui kebahagiaan dalam cinta, perkahwinan dan keluarga.
Dalam satu kenyataan, ALVN berkongsi pengalamannya yang sering berdepan dengan hubungan singkat yang tidak pernah bertahan lebih dari setahun.
“Selepas beberapa kali mencuba, saya mula bertanya kepada diri sendiri mengapa cinta begitu sukar untuk saya, tetapi begitu mudah bagi orang lain,” ujarnya.
Lirik lagu ini menggambarkan kekecewaan ALVN dengan tepat, terutama dalam pra-korus dan korus yang menyentuh hati: “People just float by, nobody stays, why is it always this way.”