
Linkin Park telah membuat kemunculan semula dengan barisan ahli baharu dan memperkenalkan karya pertama mereka sejak kematian vokalis utama Chester Bennington pada 2017.
Menurut laporan AP, kumpulan ini kini memperkenalkan vokalis baharu Emily Armstrong serta pemain dram, Colin Brittain sambil mengekalkan ahli lama seperti Mike Shinoda, Brad Delson, Phoenix dan Joe Hahn.
Shinoda dan Armstrong akan berkongsi tugas sebagai vokalis, dan kumpulan ini bakal melancarkan single baharu berjudul ‘The Emptiness Machine’ serta album baharu mereka, ‘From Zero’, yang dijadualkan keluar pada 15 November.
Linkin Park yang terkenal pada tahun 2000-an dengan vokalis ikonik Bennington namun perjalanan mereka terhenti selepas beliau meninggal dunia pada usia 41 tahun.
Kumpulan ini turut melancarkan beberapa edisi semula album popular mereka termasuk edisi ulang tahun ke-20 untuk ‘Hybrid Theory’ dan ‘Meteora’, serta koleksi lagu hits bertajuk ‘Papercuts’.
Shinoda menjelaskan bahawa tajuk album baharu ‘From Zero’ merujuk kepada permulaan mereka sebagai kumpulan bernama ‘Xero’ dan perjalanan baharu yang mereka lalui dengan barisan ahli yang baru.
Linkin Park juga mengumumkan siri jelajah dunia bertajuk ‘From Zero World Tour’ dengan lima konsert dijadualkan di Los Angeles, New York, Hamburg, London dan Seoul serta satu lagi di Bogotá, Colombia pada November.