
Aktor veteran Hollywood, James Earl Jones yang terkenal dengan suara ikoniknya sebagai Darth Vader telah meninggal dunia di kediamannya pada Isnin. Mendiang berusia 93 tahun dan meninggal dunia di samping keluarga terdekat menurut ejennya, Barry McPherson.
Punca kematian mendiang tidak dinyatakan, namun sebelum ini beliau dilaporkan mengalami diabetes. Sepanjang kerjayanya dalam seni, Jones memiliki daya tarikan yang memikat menjadikan setiap penampilannya sama ada di pentas, televisyen atau filem, sentiasa menarik perhatian.
Walaupun tidak lagi aktif sebagai pelakon, suara bass Jones yang memukau masih merupakan aset berharga. Suaranya sangat dihargai terutama dalam peranannya sebagai Mufasa dalam filem The Lion King dan pelbagai watak dalam karya Shakespeare. Suara beliau sebagai Darth Vader dalam filem Star Wars pula sering mencetuskan ketakutan di kalangan penonton.
Jones pernah ketawa apabila ditanya oleh BBC tentang keterikatan dirinya dengan watak Darth Vader yang memerlukan hanya suara untuk beberapa baris dialog berbanding pelakon lain yang perlu berlakon dengan kostum dan melakukan aksi fizikal.
“Saya suka menjadi sebahagian daripada keseluruhan mitos itu, seluruh pemujaan itu,” katanya, sambil menambah beliau sangat gembira memenuhi permintaan peminat yangsuka mendengar dialog baris ikonik: “I am your father.”
Jones juga mendedahkan bahawa beliau tidak menerima ganjaran yang besar ketika meminjamkan suara untuk watak Darth Vader, hanya AS$9,000 (RM39,000) untuk filem pertama. Malah, beliau tidak meminta untuk terlibat dalam penerbitan dua filem Star Wars yang pertama.
Sepanjang kerjayanya, mendiang Jones meraih beberapa anugerah berprestij. Antaranya termasuk Anugerah Tony untuk The Great White Hope pada 1969 dan Fences pada 1987 di Broadway serta Emmy Awards pada tahun 1991 untuk Gabriel’s Fire dan Heat Wave di televisyen. Beliau juga memenangi Anugerah Grammy untuk album Great American Documents pada 1977.
Walaupun tidak pernah memenangi trofi di Anugerah Akademi yang kompetitif, Jones pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik untuk versi filem The Great White Hope. Pada 2011, beliau dianugerahkan Oscar kehormat.
Jones memulakan kerjaya filemnya sebagai Leftenan Luther Zogg dalam filem klasik Stanley Kubrick Dr. Strangelove or: How I Learned to Stop Worrying and Love the Bomb pada 1964. Filem-filem lain yang menampilkan beliau termasuk Field of Dreams, Conan the Barbarian, Coming to America, The Sandlot, Matewan, The Hunt for Red October dan banyak lagi.
Jones juga dikenali dalam puluhan iklan televisyen dan selama beberapa tahun, saluran berita antarabangsa CNN menggunakan suaranya dalam petikan “This is CNN” untuk memperkenalkan siaran berita mereka.
Mendiang dilahirkan pada 17 Januari 1931 di Arkabutla, Mississippi dalam sebuah keluarga dengan latar belakang etnik campuran Ireland, Afrika dan Cherokee.