
Pelakon Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa syukur apabila bekas suaminya, pengarah dan pelakon Syamsul Yusof, telah kembali ke pangkuan keluarganya.
Ketika ditemui selepas Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4) pada malam Ahad, Sarah menyatakan bahawa dia tidak mahu mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
“Saya hanya boleh katakan Alhamdulillah, happy ending. Itu saja… nak cakap lebih-lebih pun tak boleh,” kata Puteri Sarah.
Apabila ditanya mengenai kenyataan Datuk Yusof Haslam tidak menolak sekiranya Puteri Sarah kembali berjodohan dengan Syamsul, ahli kumpulan Gebu itu bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas.
“No komen… saya tak nak cakap lebih-lebih mengenai perkara itu,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Puteri Sarah juga menjelaskan bahawa penggunaan isu yang melibatkan dirinya dalam persembahan minggu pertama MLS4 hanyalah untuk hiburan semata-mata.
“Bukan idea saya (isu sendiri), ia hanya berlaku secara spontan. Tapi kita tidak terlalu berlebihan. Kita jadikan ia sebagai perkara yang menyeronokkan, itu saja,” katanya.
Sarah turut bertanding bersama Mamak Puteh dan Ilham Abata dalam kumpulan Gebu dan pada minggu pertama MLS4, mereka memperoleh markah sebanyak 61.57 peratus.
Sementara itu, kumpulan Deroyan yang dianggotai oleh Eric (Floor88), Has Arteh dan Dewa Arteh dinobatkan sebagai Gempak Superstar Of The Week dengan markah tertinggi iaitu 64.08 peratus.
Muzikal Lawak Superstar 4 menampilkan gabungan dua figura legenda dalam industri komedi, pelawak Saiful Apek dan Harith Iskander bersama pelakon wanita popular Anna Jobling di bangku juri manakala Datuk AC Mizal berperanan sebagai pengacara utama.
‘Muzikal Lawak Superstar 4’ disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras dan boleh juga distrim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.