
Pelakon Fattah Amin telah memuat naik satu hantaran di Instagram selepas beberapa minit isterinya iaitu Fazura memberikan kenyataan di platform yang sama.
Dalam hantaran tersebut, Fattah memohon doa daripada orang ramai supaya semua urusan mereka dipermudahkan.
“Doakan yang baik-baik buat kami.
“Apa-apa pun jadi, Daddy will always love you two,” kata pelakon drama Hero Seorang Cinderella.
Fattah turut meninggalkan tanda pagar #Lastpicturetaken di ruangan kapsyen.
Sebelum Fattah, aktres Fazura telah memuat naik hantaran di Instagram yang menyatakan hasratnya untuk meneruskan proses penceraian demi maruah sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima.
Terdahulu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan. Fazura diwakili oleh peguam Fakhrul Azman manakala Fattah diwakili oleh peguam Zulkifli Che Yong.
Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, telah mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.
Difahamkan, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Fazura dan Fattah yang berkahwin pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.