Filem Abang Adik arahan Jin Ong terus mencatat kejayaan demi kejayaan dan secara rasmi dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa di Anugerah Akademi ke-97 pada Mac 2025.
Menurut kenyataan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pemilihan ini dibuat setelah melalui beberapa siri penilaian oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada pakar dalam bidang perfileman dan memenuhi syarat-syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Anugerah Akademi.
“Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd itu merangkul 19 anugerah antarabangsa – satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.
“Abang Adik turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September 2024, selepas mula ditayangkan bermula 21 September 2024.
“Diharap perkembangan positif dalam penghasilan filem tempatan bernilai tinggi dapat diteruskan bagi memperkukuh industri perfileman negara di arena antarabangsa,” ujar kenyataan itu.
Filem ini menampilkan gandingan pertama kali antara Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan dan telah meraih pelbagai anugerah berprestij.
Antaranya, ia memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22) serta merangkul anugerah Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award dan White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali.
Filem ini juga mendapat pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37 di Switzerland dan Festival Filem First di China.
Di peringkat tempatan, “Abang Adik” mencatat kejayaan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024, memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Pada tahun 2023, filem ini mencetus fenomena dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatat rekod tayangan tertinggi.
Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatat kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan hangat daripada penonton tempatan.