Penulis antara yang sangat teruja dengan sekuel Joker iaitu Joker: Folie À Deux (bermaksud gangguan kesihatan mental yang dikongsi antara dua individu rapat) selepas kejayaan filem pertama pada tahun 2019.
Filem ini masih mengekalkan Todd Phillips sebagai pengarah dan menampilkan Joaquin Phoenix kembali sebagai Arthur Fleck atau Joker, kali ini bergandingan dengan penyanyi terkenal, Lady Gaga.
Sekuel ini berlatarbelakangkan dua tahun selepas Joker ditahan kerana membunuh lima individu dan ditempatkan di Arkham State Hospital sementara menunggu perbicaraan.
Peguamnya Maryanne Stewart berhasrat untuk berhujah bahawa Arthur mengalami kecelaruan personaliti dan ‘watak’ Joker itu yang bertanggungjawab atas jenayah tersebut.
Dalam sesi terapi muzik, Arthur bertemu pesakit lain, Lee atau Harleen Quinzel dan selepas berkongsi kisah hidup, mereka mula jatuh cinta. Arthur yang bergelut dengan identiti dirinya juga menemui bahawa muzik sentiasa ada dalam dirinya.
Secara jujurnya, Phillips berjaya menarik perhatian penulis dari awal filem dengan menggambarkan keadaan fizikal Arthur yang sangat kurus, lebih tenang dan pendiam berbeza dengan sikapnya sebelum ini yang mengalami sawan ketawa secara rawak akibat gangguan mental.
Jalan cerita filem ini tersusun dengan baik sehinggalah Arthur bertemu Lee dan elemen muzikal mula diperkenalkan. Entah kenapa, naratif Joker: Folie À Deux mula menjadi tidak teratur selepas itu.
Nasib baik Phoenix tetap memukau dengan lakonan mantapnya dan keyakinannya untuk menyanyikan sendiri semua lagu dalam filem ini ditambah dengan persembahan Gaga yang berbeza dan menarik.
Namun, perhatian penulis sering terganggu setiap kali babak muzikal muncul, membuatkan penulis rasa betapa ruginya Phillips tidak memanfaatkan sepenuhnya gandingan Phoenix dan Gaga serta tema utama filem ini iaitu kesihatan mental.
Jika Phillips bekerja lebih keras, penulis yakin hasil Joker: Folie À Deux akan menjadi jauh lebih baik dan tersusun.
Joker: Folie À Deux
PENGARAH: Todd Phillips
PELAKON: Joaquin Phoenix, Lady Gaga, Zazie Beetz, Brendan Gleeson
GENRE: Jenayah / Drama / Muzikal
DURASI: 2 Jam 18 Minit
KLASIFIKASI: 16
TAYANGAN: 3 Oktober 2024