Jika ditelusuri kembali, penglibatan wanita ini dalam industri seni bukanlah perkara yang baru sebaliknya dia sudah melalui banyak liku kehidupan sejak dua dekad yang lalu atau lebih tepat sejak dinobatkan sebagai juara Mentor musim pertama pada tahun 2005.
Namun, gelaran juara yang diperoleh tidak menjamin laluan yang mudah buat Norafizah Mohd Yasin atau lebih dikenali sebagai Pija Mentor atau Pija Yasin.
Seiring dengan perkembangan industri seni dan keputusan beliau untuk berkahwin, perlahan-lahan Pija mula menyepi dari radar industri seni. Walaupun masih menerima tawaran nyanyian terutama di negeri kelahirannya Sabah namun populariti beliau tidak seperti dahulu.
Ujian hidup tidak terhenti di situ, wanita yang kini berusia 35 tahun ini turut diuji dengan masalah rumah tangga dan kehilangan insan tersayang dalam tempoh yang singkat.
“Sebelum kehilangan ahli keluarga, saya diuji dengan masalah rumah tangga yang akhirnya membuatkan saya menjadi ibu tunggal. Tidak berakhir di situ pada awal tahun 2023, ayah meninggal dunia, diikuti kakak kelima kerana kanser dan kakak keempat kerana pendarahan dalam otak.
“Ketika kami sekeluarga masih bergelut dengan kehilangan, emak pula menghembuskan nafas terakhir tidak sampai dua bulan selepas anaknya pergi.
“Pemergian mereka membuatkan saya rasa berada dalam titik terendah dalam hidup. Saya kemurungan, mudah marah. Ibarat bergelut dengan hidup sendiri,” ujarnya mengimbau semula detik pahit itu.
Enggan terus tenggelam, Norafizah kini bangkit dengan nama baru, Ora Fiza bertekad untuk kembali menghidupkan warna di industri seni. Dia memegang erat pesanan kedua-dua arwah ibu bapanya agar terus melangkah dan menghadapi kehidupan walau apapun rintangan yang mendatang.
“Arwah ayah dan emak ketika hayatnya sering berpesan dan memberi kata semangat untuk saya bangkit dan teruskan kehidupan.
“Mereka kata saya masih mempunyai kaki tangan untuk bekerja, punya suara kurniaan ALLAH SWT jadi mengapa perlu dipersiakan.
“Jadi bila bertemu dengan syarikat pengurusan Super Red Records, saya nekad untuk kembali aktif,” katanya.
Sebagai langkah awal dalam perjalanan barunya, Ora Fiza mempertaruhkan single berjudul Bangunlah hasil ciptaan John Jeeves dan Shazriq Azeman.
Lagu ini digambarkan sebagai cerminan kehidupan yang sarat dengan mesej kebangkitan dan kekuatan, mencerminkan perjalanan hidup Ora Fiza yang penuh dugaan namun tetap teguh dalam mengejar impiannya.
“Ketika pertama kali mendengar lagu ini yang dinyanyikan oleh Shazriq, saya menangis. Liriknya betul-betul menggambarkan kehidupan saya.
“Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan Bangunlah kepada peminat-peminat saya serta orang-orang penting yang sangat teguh menyokong kerjaya seni saya.
“Lagu ini mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia adalah refleksi kepada perjalanan hidup saya yang penuh dengan jatuh bangun. Saya harap ia memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka,” katanya yang merancang untuk tampil dengan single kedua.
Bangunlah kini sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Walaupun masih berjuang untuk mengukuhkan nama barunya dalam industri seni, Ora Fiza menyatakan bahawa dia tidak akan sekali-kali mengambil jalan pintas termasuk menggunakan ciptaan kontroversi yang murahan untuk mendapatkan perhatian.
“Sejak dahulu lagi, bila saya tidak dapat apa yang saya mahu, saya anggap belum rezeki buat saya.
“Istilah untuk cipta kontroversi bagi dikenali tidak ada dalam hidup saya. Biarlah perjalanan seni saya lebih berkat dan saya percaya, bila rezeki sudah sampai, orang akan mengenali saya,” jelasnya yang mengagumi Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri dan Aina Abdul.