Setelah mengalami trauma selama empat tahun akibat mimpi ngeri yang dilalui, pelakon wanita yang banyak terlibat dalam naskhah Malayalam, Telugu dan Hindi, Malvi Malhotra kini boleh menarik nafas lega.
Hal ini kerana, lelaki yang menikamnya telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani hukuman penjara selama tiga tahun akibat jenayah yang dilakukan, lapor indianexpress.com.
Mengikut kronologi kes, Malvi ditikam tiga kali pada malam 26 Oktober 2020 berhampiran kediamannya oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya pengarah, Yogesh Mahipal Singh.
Malvi mengalami kecederaan di bahagian tangan dan perut selepas menolak lamaran Yogesh untuk berkahwin dengannya.
“Saya berdepan trauma yang teruk selepas kejadian itu. Ia lebih daripada kecederaan atau kesan tikaman tetapi memberi impak yang besar terhadap mental saya.
“Terima kasih pihak berkuasa kerana telah memberi saya keadilan. Kesabaran saya berbaloi. Setiap perbuatan ada balasan dan keadilan selalu berpihak kepada yang benar,” luah Malvi di dalam akaun media sosialnya.
Terdahulu, pelakon filem Hotel Milan itu memberitahu bahawa dia menerima Yogesh sebagai kenalan selepas lelaki itu ingin bersahabat dengannya menerusi Facebook.
Mereka kemudiannya berkawan dan pernah keluar bersama sebelum Malvi menjauhkan diri setelah menolak lamaran Yogesh untuk mengahwininya.
Sejak itu, Yogesh telah mengintip pergerakan Malvi sehingga berlakunya insiden tikaman empat tahun lalu.