Aktor Kamal Adli tidak terkesan dan mengambil sikap tenang dalam menghadapi desas-desus mengenai keretakan rumah tangganya bersama Uqasha Senrose.
Kamal yang berusia 38 tahun telah menjelaskan bahawa dia sudah mendengar khabar angin tersebut tetapi hanya mampu ketawa kerana dia lebih mengetahui keadaan sebenar mengenai perihal rumah tangganya.
“Saya pun tak tahu isu apa yang dibangkitkan, kenapa perlu keluar tentang isu tersebut (kisah rumah tangga).
“Saya okay sahaja. Saya cuba untuk menjadi orang yang lebih terbuka,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Hikayat Bawang Putih Bawang Merah di TGV One Utama, Bandar Utama Damansara pada hari Khamis.
Kamal juga menytakan bahawa, dalam mana-mana perkahwinan sekalipun, pasti ada momen ‘tergigit lidah’, tetapi perkara itu dapat diatasi dengan baik.
Oleh itu, dia tidak mengambil peduli jika ada pihak yang ‘berminat’ untuk menyebarkan kisah rumah tangga mereka kepada umum walaupun kadang-kadang perasaan mereka tergores.
“Dalam mana-mana perkahwinan biasalah kalau ada pergeseran tetapi kalau bergaduh, saya faham perempuan kadang-kadang emosi, lebih-lebih lagi melibatkan anak.
“Saya tahu banyak perkara yang dia (Uqasha) fikir, jadi saya yang perlu untuk tenangkan dia. Saya tidak marah kerana saya tidak boleh mengawal apa yang orang nak cakap.
“Kalau netizen nak mengata, kadang-kadang mereka tidak tahu hal sebenar. Cuma kami pun ada perasaan juga, nampak okay tapi bila baca-baca komen netizen hati kami tetap terguris. Berjaga-jagalah dalam percakapan,” ujarnya.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai kes yang melibatkan isterinya dengan bekas pembantu peribadi, Kamal menyatakan bahawa perkara itu masih dalam siasatan polis.
Namun, sebagai individu yang paling rapat dengan Uqasha, dia berasa kesal melihat permaisuri hatinya itu telah menjadi mangsa kecaman netizen yang tidak mengetahui keadaan sebenar.
“Apa yang boleh saya cakap semua dakwaan ini adalah fitnah. Orang sudah beri keistimewaan masuk dalam rumah jadi sebahagian keluarga, kemudian dia (pembantu peribadi) ‘tikam’ kami begini.
“Kami juga sejak awal datang berjumpa untuk berbincang elok-elok, tetapi pihak dia yang mula bercerita.
“Kasihan dekat Uqasha, dia selalu jadi ‘mangsa’ dari zaman tuduhan membuli. Sudah tentu dia sangat terkesan sampai tahap saya perlu menyakinkan dia untuk tidak melayan,” ujarnya.
Terdahulu, pada Ogos lalu, seorang wanita yang merupakan pembantu peribadi Uqasha mendakwa telah dipukul oleh aktres tersebut kerana mendedahkan masalah rumah tangganya kepada ibu aktres itu.
Namun, selepas beberapa hari berdiam diri, Uqasha mendedahkan sikap bekas pembantu peribadinya yang suka menjaja cerita mengenainya kepada orang luar.
Selain itu, individu berkenaan yang diberikan keistimewaan untuk masuk ke rumah, bertindak sewenang-wenangnya dengan memasuki bilik tidur dan memakai pakaian aktres itu tanpa kebenaran.