Peminat kumpulan ‘boy band’ terkenal negara iaitu KRU akan dapat mengubati kerinduan mereka apabila kumpulan ini bakal melancarkan single terbaru yang berjudul Kaset.
Difahamkan, album tersebut dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan November ini.
Dalam satu pertemuan dengan media, Norman menyatakan bahawa kemunculan semula ini bukan sahaja dinantikan olehnya, tetapi juga oleh Yusry dan Edry serta peminat-peminat kumpulan yang terkenal dengan lagu Fanatik dan Jangan Lafazkan itu.
“Sebenarnya kami tak anggap kemunculan ini sebagai ‘come back’. Kami bertiga masih ada, cuma kurang aktif dalam industri kerana masing-masing sibuk dengan komitmen sendiri. Namun, kami akui bahawa kami juga rindu untuk bersama seperti dulu“
Menurut Norman, album Kaset mengandungi 10 lagu baharu yang ditulis oleh mereka bertiga di mana dua daripadanya merupakan lagu berbahasa Inggeris.
Mengenai konsep album ini, KRU masih mengekalkan elemen muzik dari era kegemilangan mereka tetapi disesuaikan dengan muzik masa kini agar sesuai dengan cita rasa generasi muda hari ini.
“Saya yakin dengan kematangan kami dan pengetahuan dalam bidang muzik, album ini berpontensi menjadi yang terbaik daripada KRU. Kami selesa dengan sound yang sinonim dengan KRU sejak dahulu, dan bangga dengan identiti muzik kami.“
KRU juga akan mengadakan jelajah seluruh negara dalam ‘tour’ khas yang akan diumumkan dalam masa terdekat.