Hiburan

Siti Nurhaliza Tersenarai Dalam “The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims”

Tersenarai dalam The Muslim 500, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.

Mendekati tiga dekad dalam industri hiburan tempatan, penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, sekali lagi mengharumkan nama negara apabila tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2025.

Sejak 2016, pelantun lagu hit “Kesilapanku Keegoaanmu” ini telah berjaya memasuki senarai tersebut di bawah kategori seni dan budaya, yang menunjukkan pencapaian hebatnya selama sembilan tahun di pentas seni, sebaris dengan tokoh-tokoh berpengaruh lainnya.

Menyifatkan kejayaan ini sebagai penghargaan yang sangat berharga, ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ini percaya bahawa pencapaian tersebut adalah hasil usahanya bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam membantu rakyat Palestin melalui Yayasan Nurjiwa.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu tersenarai dalam The World’s 500 Most Influential Muslims. Apa yang saya buat ini pun untuk agama serta dunia Islam juga.

“Walaupun kategori itu untuk anak seni, saya rasa ia juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang kita bantu di Gaza, Palestin serta rakyat Malaysia yang terkesan dengan kejadian bencana alam,” katanya.

Siti Nurhaliza yang masih diakui sebagai penyanyi nombor satu negara menyatakan bahawa dirinya terpanggil untuk mengambil tanggungjawab dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin secara berterusan atas nama persaudaraan sesama Islam. Selain itu, beliau juga mempunyai anak angkat di sana.

“Saya ada tanggungjawab di sana… saya masih ada anak-anak angkat di sana dan pasukan Yayasan Nurjiwa pun masih ada di sana … cikgu-cikgu yang tak mengajar, mereka mengambil alih tugas mengedar makanan untuk Yayasan Nurjiwa setiap hari.

“Saya tidak pernah putus mendoakan semoga semuanya, termasuk pasukan kami, sentiasa selamat daripada sebarang musibah agar bantuan dapat terus disalurkan,” kata anak seni yang sebelum ini pernah digelar sebagai Voice of Asia.

Melalui buku yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre di Amman, Jordan, Siti Nurhaliza tersenarai bersama individu-individu berpengaruh dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Di negara ini, beliau merupakan artis yang paling banyak menerima anugerah sehingga tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada tahun 2001 dan kekal sebagai pemegang rekod itu hingga ke hari ini.

Sepanjang kariernya sebagai anak seni, beliau telah meraih 13 trofi Penyanyi Wanita Popular serta tujuh kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH.

Secara keseluruhan, lebih 300 anugerah, baik tempatan mahupun antarabangsa telah menjadi milik penyanyi kesayangan ramai ini.

Related posts
Hiburan

Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditikam Ketika Cuba Halang Penceroboh

Saif Ali Khan dilaporkan diserang dan ditikam di rumahnya pada awal pagi tadi. Pelakon Bollywood…
Read more
Hiburan

Amir Raja Lawak Kembali Berlakon Selepas Setahun Fokus Berniaga

Amir Raja Lawak kini sudah bersedia untuk kembali berlakon selepas setahun fokus berniaga. Pelawak…
Read more
Hiburan

Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat: Cinta Lama Kembali Tertaut?

 Sufian Suhaimi berkongsi gambar Rania Al-Sadat dengan kapsyen ‘Masya-Allah Sayangku’ di…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *