Hiburan

“All Access to Rossa 25 Shining Years”: Rossa Kongsikan Perjalanan Hidupnya

Rossa menceritakan pengalaman sepanjang 25 tahun dalam kerjaya seninya.

Tiada istilah malu bagi bintang terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang bersedia dan terbuka untuk berkongsi perjalanan hidupnya dengan peminat.

Bagi Rossa, tujuan utama adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain menerusi filem dokumentari bertajuk ‘All Access to Rossa 25 Shining Years’.

Walaupun namanya bersinar sebagai Ratu Pop Indonesia, Rossa juga mempunyai kisah sedih seperti insan lain terutama berkenaan dengan perkahwinannya dengan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau lebih dikenali sebagai Yoyo yang berakhir dengan kekecewaan.

Lebih istimewa, filem ini turut menampilkan anak tunggalnya yang tersayang, Rizky Langit Ramadhan berusia 17 tahun. Filem berdurasi satu jam 30 minit ini juga menyoroti suka duka kehidupannya sebagai penyanyi terkemuka di Indonesia dan Malaysia.

“Saya yakin banyak ‘Rossa’ yang lain, saya salah seorang wanita yang pastinya melalu banyak kesukaran dalam hidup. Ada yang bekerja sendiri untuk membiayai keluarga, mungkin penderitaan mereka lebih daripada saya.

“Kita tidak mendedahkannya. Mungkin ini saat saya berkongsi, saya ingin mengatakan anda tidak bersendirian kerana saya juga alami hal yang sama.

“Apa yang terlihat di layar kaca, kita menampilkan yang baik-baik, kebahagiaan atau kesenangan saja. Yang tidak baik, kita simpan dalam hati, di rumah baru kita buka,” katanya.

Sebagai seorang artis terkenal, kehidupan Rossa tidak terlepas daripada gosip dan khabar angin terutama dengan gelaran ibu tunggal yang disandangnya.

Setelah lebih 15 tahun menjalani kehidupan sendirian, Rossa yang nama penuhnya ialah Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46 tahun, mengakui bahawa beliau mempunyai teman tetapi sebagai manusia biasa, beliau memilih untuk menyerahkan segala perancangan kepada Allah SWT.

“Saya tidak berkongsi kerana saya tidak tahu adakah ini ‘the one’. Sejujurnya sehingga ke saat ini, saya rasa belum bersedia untuk kembali berumah tangga.

“Bukan kerana apa tetapi lebih kepada mahu menyerahkan kepada Allah untuk menentukan. Kalau kita mencari tapi rezeki memang bukan untuk kita, kita tak dapat.

“Kalau kita tidak mencari tapi Allah kata ini rezeki kamu, kita tak boleh menolak. Jadi santai saja, kita lalui saja kehidupan dengan gembira,”katanya tenang.

Menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua, Rossa bersyukur dan berasa gembira kerana memiliki keluarga besar di sini yang sentiasa menyambut kehadirannya dengan tangan terbuka.

Rossa menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia sebagai dua negara berjiran, harus bijak memanfaatkan kelebihan ini untuk menyemai diplomasi seni dan hiburan sekaligus memperkukuh persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.

“Kita sebagai sosok yang tidak terikat dengan politik kita boleh melihat semua sebagai saudara. Kita tidak pandang bahasanya atau penampilannya.

“Muzik itu sesuatu yang boleh dinikmati semua. Alangkah beruntungnya kita dalam industri hiburan dan saya yakin muzik dan filem boleh menyatukan budaya yang berbeza,” ujarnya.

Tambahnya, industri seni adalah kompetitif, tetapi sebagai seorang penggiat, beliau lebih selesa memberi tumpuan kepada aspek pembaharuan dan kreativiti untuk menyajikan produk yang segar kepada peminat.

“Muzik akan sentiasa berevolusi. Kita tidak boleh jangka apa yang akan muncul di masa hadapan. Kerana itu saya juga mahu bergerak mengikut evolusi itu dan menampilkan pembaharuan dalam setiap hasil karya,” katanya lagi.

Menjengah ke lima tahun akan datang tatkala usia pembabitan dalam industri mencecah tiga dekad, Rossa tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya mahu terus berjalan mengikut arah yang sudah ditentukan.

“Saya seorang yang spontan, tidak pernah meletakkan sasaran tertentu. Selalunya perancangan yang saya buat bersifat spontan.

“Menyanyi adalah sebahagian daripada hidup saya dan saya akan terus menyanyi selagi hati saya masih mahu menyanyi.

“Tetapi saya tahu sampai satu masa saya mungkin tidak lagi seaktif sekarang. Mungkin ketika itu nanti saya akan bekerja di belakang tabir atau menumpukan pada perniagaan,” katanya menutup perbualan.

Filem ‘All Access to Rossa 25 Shining Years‘ arahan sutradara Ani Ema Susanti akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Oktober.

Related posts
Hiburan

Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditikam Ketika Cuba Halang Penceroboh

Saif Ali Khan dilaporkan diserang dan ditikam di rumahnya pada awal pagi tadi. Pelakon Bollywood…
Read more
Hiburan

Amir Raja Lawak Kembali Berlakon Selepas Setahun Fokus Berniaga

Amir Raja Lawak kini sudah bersedia untuk kembali berlakon selepas setahun fokus berniaga. Pelawak…
Read more
Hiburan

Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat: Cinta Lama Kembali Tertaut?

 Sufian Suhaimi berkongsi gambar Rania Al-Sadat dengan kapsyen ‘Masya-Allah Sayangku’ di…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *