Penyanyi Liam Payne dilaporkan meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan trauma selepas terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah bilik hotel di Buenos Aires, Argentina, menurut kenyataan polis tempatan pada Khamis.
Hasil bedah siasat awal menunjukkan bahawa bekas anggota kumpulan One Direction itu mengalami pendarahan dalaman dan luaran serta pelbagai kecederaan trauma.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa Payne terjatuh dari balkoni di tingkat tiga Hotel CasaSur Palermo yang menyebabkan kecederaan fatal.
Sementara itu, laporan toksikologi masih belum dikeluarkan.
Penyanyi itu diumumkan meninggal dunia pada Rabu lalu (16 Oktober) selepas pasukan kecemasan bertindak balas terhadap panggilan pengurus hotel yang melaporkan “seorang lelaki bersikap agresif yang mungkin di bawah pengaruh dadah atau alkohol.”
Panggilan 911 dibuat pada pukul 5.01 petang waktu tempatan sebelum kematian Payne kira-kira 10 minit kemudian.
Liam Payne meraih kemasyhuran global sebagai anggota kumpulan pop One Direction yang telah dibubarkan bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.
Kumpulan itu bermula selepas menduduki tempat ketiga dalam rancangan pertandingan muzik X Factor versi British pada tahun 2010, tetapi berpecah pada 2016 kerana anggota-anggotanya meneruskan projek berbeza termasuk kerjaya solo.
Sementara itu, anggota One Direction meluahkan perasaan “amat terkejut dan sedih” dengan berita kematian rakan mereka itu. Kenyataan bersama dikeluarkan pada Khamis dan ditandatangani oleh Harry, Louis, Zayn dan Niall.