Hiburan

Marsha Milan Terharu Terima Anugerah A.D.K, Janji Terus Berusaha Dalam Industri

Marsha ketika dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu baru-baru ini.

Penyanyi dan selebriti terkenal dari Sabah, Marsha Milan tidak menyangka akan menerima penghormatan tertinggi negeri Sabah iaitu Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) sempena ulang tahun ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Anugerah ini adalah pengiktirafan bagi individu yang telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang masing-masing.

Marsha diiktiraf atas pencapaiannya dalam industri hiburan serta sumbangannya kepada seni dan budaya Sabah.

Dalam ucapannya, pemilik nama penuh Marsha Milan Londoh, 38 tahun menyatakan rasa terharu dan berbesar hati apabila hasil kerjanya mendapat perhatian.

“Saya tidak pernah membayangkan akan diiktiraf sebegini rupa. Ini adalah penghormatan yang sangat besar bagi saya dan memberi motivasi besar untuk saya terus berusaha menjadi lebih baik dalam kerjaya seni saya.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong saya selama ini,” kata Marsha dengan penuh rasa syukur.

Marsha menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 16 Oktober lalu di Istana Seri Kinabalu.

Marsha menambah bahawa pengurniaan Ahli Darjah Kinabalu itu telah memberi inspirasi kepada anak jati Tamparuli ini untuk terus berkarya dan menyumbang kepada industri hiburan Sabah.

Dia juga berharap untuk terus mengangkat nama Sabah dalam industri hiburan serta sedang merancang projek-projek khas untuk peminatnya di Sabah. Marsha berhasrat untuk terus memperkenalkan budaya dan seni Sabah kepada dunia.

“Cinta saya kepada tempat lahir adalah keutamaan saya. Saya juga bercita-cita untuk membawa lebih banyak elemen kraf Borneo dalam karya-karya saya di masa akan datang, insya-ALLAH,” jelasnya.

Sebagai anak jati Sabah, pengalaman membesar di negeri ini telah membentuknya menjadi seorang penyanyi dan selebriti yang berjaya.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran untuk menembusi industri hiburan pada awal kariernya, Marsha berjaya membuktikan bakatnya dan kini dikenali sebagai salah satu ikon dalam industri.

“Sebenarnya, saya tidak pernah membayangkan diri saya akan berada dalam industri hiburan kerana platform pada zaman saya sangat terhad.

“Bagaimanapun alhamdulillah, saya berjaya menembusi industri ini. Sekarang, saya lihat semakin ramai bakat dari Sabah yang mendapat tempat dan saya sangat gembira untuk berada di atas pentas bersama-sama mereka,” ujarnya.

Berkongsi pesan dan cara untuk terus kekal relevan dalam industri, pelatun lagu Hening Rindu itu menyatakan bahawa yang paling penting adalah terus mengejar impian dengan dedikasi dan ketekunan.

“Jangan hanya mengejar populariti, tetapi fokus pada bakat dan minat anda yang sebenar.

“Bagi kekal relevan dalam industri, saya perlu mencuba pelbagai peranan, dari berlakon, menjadi pengacara televisyen dan majlis sehingga menyanyi sebagai vokalis latar.

“Saya juga keluarkan duit sendiri untuk menerbitkan single saya, tetapi semuanya berbaloi dan saya tidak pernah menyesal,” tutur Marsha.

Related posts
Hiburan

KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL CATAT RM6.5 JUTA, TERMASUK TAYANGAN AWAL

– Foto Astro Shaw – Filem Kudrat 1968: High Council mencatat kutipan terkumpul RM6.5…
Read more
Hiburan

24 TAHUN BERKARYA, MISHA OMAR RAIKAN IDENTITI SENDIRI MENERUSI AKU & LELAKI

– Foto Astro Awani – Selepas 24 tahun dalam industri muzik, Misha Omar meraikan…
Read more
Hiburan

LEBIH 10,000 TETAMU MERIAHKAN KENDURI RAKYAT SYED SADDIQ DAN BELLA ASTILLAH DI MUAR

Majlis resepsi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *