Bekas vokalis kumpulan Nidji, Giring Ganesha kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam Kabinet Merah Putih yang dipimpin oleh Presiden Prabowo Subianto.
Pelantikan ini diumumkan secara langsung oleh Presiden Prabowo semasa pengumuman senarai Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Merdeka pada hari Ahad.
Giring Ganesha akan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan bersama Fadli Zon yang dilantik sebagai Menteri Kebudayaan.
Sebelum ini, Giring mengakui bahawa walaupun telah membuat keputusan untuk meninggalkan dunia nyanyian demi memberi tumpuan kepada bidang politik, dia masih merindui untuk menghasilkan muzik.
Penyanyi kelahiran Jakarta ini menyatakan bahawa membuat keputusan ini bukanlah perkara yang mudah kerana kedua-dua bidang tersebut memberikan erti dan makna yang tersendiri.
Berusia 41 tahun, Giring bersama kumpulan Nidji telah menjadi salah satu kumpulan muzik yang berpengaruh dalam industri hiburan Indonesia sejak tahun 2002.
Antara lagu popular yang dinyanyikan Giring bersama Nidji termasuk “Arti Sahabat,” “Jangan Lupakan,” dan “Laskar Pelangi.”