Hiburan

Zubir Khan Terima Anugerah Muhibbah, Cipta Fenomena Melalui Lagu Tamil

Zubir (tengah) menerima Anugerah Macrokiosk Muhibbah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Macrokiosk, Datuk Kenny Goh (kanan).

Penyanyi yang telah mencipta fenomena di media sosial dengan lagu Tamil berjudul “Yennado Macha,” Zubir Khan telah dipilih oleh juri untuk menerima Anugerah Muhibbah bagi bulan Ogos.

Zubir yang dikenali dengan nama sebenar Muhammad Zubir Mohamad Ali berusia 24 tahun dipilih untuk anugerah ini sebagai penghargaan kepada semangat muhibah yang ditunjukkan melalui lagu-lagu Tamil ciptaannya yang telah mendapat sambutan hangat daripada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Teruja dengan pengiktirafan ini, pemuda berdarah Pakistan-Melayu ini menganggap anugerah tersebut sebagai satu kejutan yang akan memotivasikannya untuk terus berkarya.

“Saya hilang tangan kanan pada usia empat tahun dan keadaan itu membuatkan saya selalu berfikir kekurangan yang dimiliki akan menjadi penghalang untuk berjaya. Namun, akhirnya saya sedar kekurangan itu bukanlah halangan selagi kita tidak berhenti mencuba.

“… dan saya juga tidak pernah menjangkakan lagu-lagu nyanyian saya akan menjadi tular, dan seterusnya berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia. Saya bersyukur kerana ini adalah anugerah pertama yang saya terima dan akan menjadi memori yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Anugerah Muhibbah dilancarkan pada tahun lepas hasil kerjasama antara Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) dan penyedia platform penyelesaian perusahaan, MACROKIOSK. Anugerah ini bertujuan untuk menghargai individu, kumpulan atau organisasi yang telah menyumbang kepada semangat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Zubir pelantun lagu “Oh My Khadale,” menerima anugerah tersebut daripada Exco NPC, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohammed Hanif yang mewakili Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan. Zubir juga membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 serta sijil penghargaan.

Nama Zubir mula dikenali selepas menyanyikan lagu-lagu Tamil di majlis perkahwinan dan melalui rakaman semula atau ‘cover version’ sejak 2018. Antara lagu bahasa Tamil yang diciptanya termasuk “Nenji Yenghutu,” “Marainthe Uyire,” “Soga Kathai,” “Per Yenne Solle,” dan “Yennode Macha,” yang kesemua muzik videonya telah mencatat jutaan tontonan di YouTube.

Sebagai anak bongsu daripada lima beradik, Zubir kini sedang popular dengan lagu “Oh My Khadhale” atau OMK yang dinyanyikan secara berduet dengan rakannya, Ezra Kairo. Beliau merancang untuk menghasilkan sebuah album mini pada tahun ini.

“Saya juga bakal melancarkan single Deepavali Sudah Mari pada 26 Okt ini bersempena dengan sambutan Deepavali yang bakal tiba. Saya berharap dapat terus mencipta dan menyanyikan lagu-lagu baharu yang akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghayati semangat muhibah dan hidup harmoni,” katanya yang menjadikan komposer dan penyanyi dari India, Anirudh Ravichander sebagai idola.

Sementara itu, Abdul Rahmat Omar berharap pihaknya dapat terus menyemarakkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat bagi membina Malaysia yang lebih kuat, tahan lasak dan bersatu padu.

“Zubir telah menunjukkan semangat muhibah yang mengagumkan dengan menyatukan masyarakat melalui kecintaan serta bakatnya, dan usaha beliau ini diakui dan dihargai oleh juri,” katanya.

Related posts
Hiburan

Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditikam Ketika Cuba Halang Penceroboh

Saif Ali Khan dilaporkan diserang dan ditikam di rumahnya pada awal pagi tadi. Pelakon Bollywood…
Read more
Hiburan

Amir Raja Lawak Kembali Berlakon Selepas Setahun Fokus Berniaga

Amir Raja Lawak kini sudah bersedia untuk kembali berlakon selepas setahun fokus berniaga. Pelawak…
Read more
Hiburan

Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat: Cinta Lama Kembali Tertaut?

 Sufian Suhaimi berkongsi gambar Rania Al-Sadat dengan kapsyen ‘Masya-Allah Sayangku’ di…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *