Wilayah Punjab, Pakistan yang merupakan kawasan paling padat penduduk di negara itu telah mengisytiharkan darurat kesihatan di dua bandar utama, Lahore dan Multan pada Jumaat lalu. Keputusan ini diambil berikutan jerebu toksik yang terus melanda kawasan tersebut sejak awal bulan ini.
Menteri Wilayah, Marriyum Aurangzeb memaklumkan bahawa hospital-hospital telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan waktu operasi klinik dipanjangkan untuk menampung pesakit manakala petugas perubatan diarahkan bekerja syif tambahan.
Kedua-dua bandar ini yang mempunyai lebih 18 juta penduduk, kini berdepan dengan kualiti udara yang sangat berbahaya dengan Lahore menjadi bandar paling tercemar di dunia sepanjang bulan ini. Untuk mengurangkan kesan jerebu, pihak berkuasa telah melaksanakan sekatan pergerakan penuh setiap Jumaat hingga Ahad di kedua-dua bandar, membatalkan segala aktiviti luar kecuali kecemasan perubatan.
Selain itu, langkah-langkah lain termasuk larangan terhadap penggunaan beca bermotor, aktiviti barbeku, restoran, serta kenderaan yang mengeluarkan pelepasan pencemaran tinggi. Kualiti udara di Lahore telah diklasifikasikan sebagai berbahaya, dan pihak berkuasa memperkenalkan sekatan ketat untuk mengurangkan pelepasan toksik.
Isu jerebu toksik ini bukan sahaja memberi kesan kepada Pakistan tetapi juga negara jiran termasuk India dan Bangladesh. New Delhi ibu negara India telah melaksanakan langkah-langkah pembelajaran jarak jauh bagi pelajar sekolah rendah dan menghadkan aktiviti pembinaan berikutan kualiti udara yang sangat buruk.
Menurut amaran dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lebih 11 juta kanak-kanak di Punjab berisiko menghidap masalah paru-paru akibat pencemaran udara ini sementara Pakistan bimbang lebih 250,000 kematian berkaitan dengan udara toksik itu.