SHAH ALAM: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan penuh kegembiraan berkongsi bahawa baginda kini kembali bergelar mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Perkongsian tersebut dibuat menerusi akaun TikTok rasmi baginda, @cmspahang, pada Ahad. Dalam hantaran itu, baginda memuat naik gambar memegang kad pelajar yang tertera nama International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC). Baginda turut menitipkan pesanan di ruangan kapsyen, “Kembali ke sekolah, doakan saya.”
Pengumuman ini menarik perhatian ramai pengguna TikTok, yang meluahkan rasa teruja dan berharap dapat bertemu baginda di kampus. Antara komen yang mencuri perhatian termasuk ucapan selamat daripada Dilla J, “Tuanku, selamat menjadi mahasiswa IIUM. Semoga kita dapat bersua muka di mana-mana kuliah nanti, amin.” Tidak kurang juga, ada komen berseloroh seperti daripada Famin, “Jangan lewat buat tugasan, Tuanku.”
UIAM turut mengongsikan hantaran Tunku Azizah di laman Facebook rasmi mereka, menzahirkan penghormatan kepada baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM. Baginda telah dilantik semula untuk jawatan itu bagi penggal kedua, bermula 31 Januari lalu, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Baginda pertama kali memegang jawatan tersebut pada tahun 2019.
Selain berita tersebut, baru-baru ini Tunku Azizah turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas usaha memartabatkan seni warisan budaya di peringkat antarabangsa. Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, Selangor, pada Rabu.