Filem fenomenal, Kahar: Kapla High Council, terus mencipta kejayaan luar biasa apabila mencatat kutipan box office sebanyak RM11 juta. Filem arahan Razaisyam Rashid dan terbitan Astro Shaw ini membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap karya tempatan, khususnya filem Melayu.
Bagi menghargai karya anak seni tempatan, syarikat takaful terkemuka, Imtiyaz Consultancy Sdn Bhd, mengambil inisiatif meraikan filem ini dengan sesi tontonan khas di sebuah pawagam ibu negara baru-baru ini. Acara ini turut melibatkan Alfa Consultancy Sdn Bhd, rakan strategik Imtiyaz, dan dihadiri seramai 133 peserta yang terdiri daripada perunding insurans serta pelanggan.
Selain menyokong industri filem tempatan, tujuan utama acara ini adalah untuk menghargai pelanggan setia yang sentiasa mendukung perkhidmatan Imtiyaz dan Alfa.
Pengasas dan Pengarah Urusan Imtiyaz Consultancy, Wan Zaini Wan Hassan, menyatakan kegembiraannya terhadap inisiatif ini.
“Inisiatif tontonan filem Kahar: Kapla High Council bersama pelanggan adalah kali pertama dianjurkan, dan kami sangat teruja melaksanakannya. Sebagai syarikat tempatan, menjaga kepentingan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami.
“Pada masa yang sama, kami juga komited memberi sokongan kepada karya seni tempatan. Melalui tontonan ini, kami bukan sahaja menikmati filem hebat tetapi juga memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan kami,” kata Wan Zaini kepada Astro AWANI selepas majlis tayangan berakhir.
Acara ini menjadi bukti bagaimana sinergi antara industri seni dan korporat mampu menyokong karya tempatan, sambil memupuk hubungan yang lebih erat dengan pelanggan.