Maleeq Dragster mencatat rekod luar biasa dengan 14 kejuaraan, termasuk memenangi gelaran juara dunia kategori lima tahun di Run Bike Series (RCS) Championship di Tokyo, Jepun. – Gambar/ M8 Malaysia
Ungkapan “kecil-kecil cili padi” sesuai menggambarkan kejayaan luar biasa jaguh muda sukan pushbike, Maleeq Dragster, yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai juara terbanyak dalam kejohanan pushbike kanak-kanak. Maleeq, atau nama penuhnya Wan Ayden Maleeq Wan Muhd. Muzri, 5, telah memenangi 14 kejuaraan, termasuk gelaran juara dunia kategori lima tahun di RCS Championship di Tokyo, Jepun.
Kejayaan ini disifatkan oleh bapanya, Datuk Seri Wan Muhd. Muzri, sebagai bukti bahawa sukan pushbike berpotensi membentuk generasi muda yang berdaya saing.
“Sebagai ibu bapa, kami sangat berbangga dengan Maleeq. Dia memberi inspirasi kepada adik-beradik dan rakan-rakan seperjuangannya. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk melahirkan ahli sukan negara yang berjaya di masa hadapan,” ujar Wan Muhd. Muzri.
Maleeq bukan sahaja mencipta rekod baru untuk Malaysia, tetapi turut mengangkat martabat sukan pushbike tempatan ke peringkat antarabangsa, menjadikannya setanding dengan sukan kanak-kanak lain. Negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Hong Kong, dan Singapura turut menyaksikan kemenangan pelumba muda ini, selain mempertahankan kejuaraan di Jepun selama dua tahun berturut-turut.
Kejayaan Tempatan dan Antarabangsa
Antara kejayaan tempatan Maleeq ialah:
- M8 Malaysia International Pushbike GP Series 2 2024 (Langkawi)
- M8 Malaysia International Pushbike GP Series 4 2024 (Petronas)
- M8 Magnificent Race 2024
Maleeq juga menewaskan pelumba antarabangsa dalam Rockfish Cup International Championship 2024 baru-baru ini, membuktikan kemampuannya bersaing di pentas global.
Semangat Juang Tinggi
Menurut ibunya, Datin Seri Nursyafira Mohd. Zain, Maleeq memiliki semangat juang yang tinggi meskipun pernah mengalami kecederaan semasa latihan.
“Dia sangat kuat semangat, begitu juga dengan kakak dan abangnya, Mikael dan Mikayla, yang terus berprestasi walaupun pernah tercedera ketika berlumba. Latihan biasanya dijalankan pada waktu malam untuk memastikan mereka dapat fokus pada persekolahan, manakala perlumbaan hanya diadakan pada hujung minggu,” katanya.
Persiapan Menuju Kejohanan di Jepun
Wan Muhd. Muzri, yang juga Presiden The M8 Cycling Club, mendedahkan bahawa Maleeq akan kembali ke Jepun pada Januari depan untuk menyertai Run Bike Series (RCS) bersama abang, kakaknya, dan tujuh pelumba lain, iaitu Fayyadh, Raziq, Izz Fast, Amni, Rafif, Ilyas, dan Dayyan.
“Persaingan kali ini dijangka sengit, tetapi dengan persiapan rapi, kami yakin pelumba Malaysia mampu mencatat keputusan terbaik,” tambahnya.
Masa Depan Sebagai Pelumba Permotoran Mini GP
Bercakap mengenai masa depan Maleeq selepas pushbike, Wan Muhd. Muzri menyatakan bahawa anaknya bercita-cita untuk menceburi sukan permotoran Mini GP melalui kerjasama antara M8 Malaysia dan ZK Racing. Program ini bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak berbakat untuk mengembangkan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Kami berharap Maleeq dan rakan-rakannya dapat terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya penuh harapan.