
DOHA: Perbincangan antara pihak yang terlibat di Gaza dan kumpulan perantara terus berlangsung pada Selasa untuk memuktamadkan perincian perjanjian gencatan senjata selepas sesi perbincangan panjang di Qatar. Kedua-dua belah pihak serta perantara mengesahkan bahawa perjanjian semakin hampir dicapai.
Namun, selepas lebih lapan jam perbincangan, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu bahawa kumpulan tersebut masih menunggu Israel menyerahkan peta yang menunjukkan cara tentera mereka akan berundur dari Gaza.
Katanya, Hamas belum memberi maklum balas terhadap rancangan gencatan senjata kerana pihak Israel belum menyerahkan peta yang menunjukkan kawasan tentera mereka akan berundur.
Peta tersebut termasuk pengunduran tentera Israel dari kawasan Netzarim di tengah Semenanjung Gaza untuk membolehkan penduduk yang dipindahkan kembali ke rumah mereka serta kawasan seperti Jabalia di utara Gaza, Jalan Philadelphi di sepanjang sempadan selatan dengan Mesir dan Rafah yang terletak berhampiran sempadan tersebut.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, awalnya menyatakan bahawa perbincangan mengenai perincian akhir masih berjalan selepas kedua-dua pihak diberikan teks cadangan perjanjian. Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden turut menyatakan bahawa perjanjian hampir dimuktamadkan.
Hamas menyatakan bahawa rundingan kini berada di fasa akhir dan mereka berharap pusingan perbincangan kali ini akan menghasilkan perjanjian, selepas usaha mediasi oleh Qatar, Mesir dan AS. Seorang pegawai Israel turut menyatakan bahawa rundingan sudah berada pada tahap kritikal walaupun beberapa perincian masih perlu diperhalusi.
Jika berjaya, gencatan senjata berperingkat ini berpotensi menghentikan pertempuran yang memusnahkan Gaza dan meredakan ketegangan di seluruh Asia Barat yang lebih luas di mana perang telah mencetuskan konflik di Tebing Barat, Lubnan, Syria, Yaman dan Iraq serta meningkatkan kebimbangan mengenai peperangan besar antara Israel dan Iran.