Umum

Tourism Malaysia Fokus Promosi Pelancongan Perniagaan dan Sempadan di Rantau ASEAN

Tourism Malaysia akan laksana lebih banyak misi jualan strategik di kawasan sempadan Malaysia dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei. 

SEPANG: Tourism Malaysia akan mempertingkatkan usaha promosi pelancongan di rantau ini dengan memberi fokus kepada pelancongan perniagaan dan pelancongan sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata langkah ini bertujuan menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dalam kalangan 10 negara ASEAN selaras dengan komitmen untuk memperkukuh industri pelancongan serantau.

Beliau juga menyatakan bahawa pihaknya akan melaksanakan lebih banyak misi jualan yang disasarkan di kawasan sempadan Malaysia dengan Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

“Inisiatif ini bertujuan menarik lebih ramai pelancong serantau dengan memperkenalkan pelbagai tawaran pelancongan yang kompetitif dan berdaya saing.

“Dalam setiap misi jualan, kami akan membawa pemain industri pelancongan secara langsung kepada pelancong termasuk wakil daripada syarikat penerbangan, perhotelan, taman tema serta pengusaha inap desa.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Keraian Sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, di sini, pada Rabu.

Lee berkata, beliau yakin sasaran yang ditetapkan dapat dicapai menerusi pelbagai inisiatif promosi yang akan dilaksanakan sepanjang tahun selain kedatangan delegasi antarabangsa ke Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

“Tahun ini, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai mesyuarat dan acara peringkat serantau, yang dijangka menarik lebih ramai pelawat perniagaan dan pelancong daripada negara-negara ASEAN.

“Kepengerusian ASEAN bukan sahaja membuka peluang besar kepada sektor pelancongan Malaysia malah mengukuhkan lagi peranan negara sebagai hab pelancongan utama di rantau ini,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata kementeriannya sedang mengkaji semula sasaran untuk Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) selepas kejayaan sektor pelancongan negara yang melebihi jangkaan awal.

Tiong menjelaskan bahawa sasaran asal untuk menarik 36 juta pelancong antarabangsa mungkin akan dinaikkan selepas Malaysia berjaya menarik 38 juta pelancong pada tahun 2024 melebihi ramalan yang dibuat.

Sementara itu, Lee berkata program hari ini menyaksikan Tourism Malaysia menyambut ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa di empat lapangan terbang utama di negara ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan kempen TMM2026.

Selain di KLIA Terminal 1 dan 2, sambutan untuk para pelancong turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Related posts
Umum

SHAHIDA BIMBANG ADAB SESETENGAH REMAJA, PERSOAL CABARAN GURU DAN IBU BAPA

Datin Seri Nur Shahida meluahkan kebimbangan terhadap sikap sesetengah remaja yang disifatkannya…
Read more
Umum

JANNA NICK TAMAT PENGAJIAN DI UK DENGAN CEMERLANG, RAHSIAKAN SELAMA SETAHUN KERANA BIMBANG PENYAKIT AIN

Pelakon Janna Nick berjaya menamatkan pengajian Master of Arts in Filmmaking di United Kingdom…
Read more
TempatanUmum

UKM JELAS PELANTIKAN SHAHROL SHIRO SEBAGAI PENGAJAR SAMBILAN

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil memberikan penjelasan susulan pelantikan pelawak dan…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *