
TATAU: Empat keluarga yang mendiami tiga kediaman di Kilometer 6, Jalan Sangan, terselamat selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh lewat malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.57 malam dan segera mengerahkan satu pasukan terdiri daripada tiga anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.
“Setiba di lokasi, pasukan mendapati, runtuhan tanah berlaku di bahagian ruang tamu dan bilik utama salah sebuah kediaman terbabit, namun penghuninya sempat menyelamatkan diri.
“Siasatan awal kita mendapati, sebanyak tiga rumah terjejas, membabitkan empat keluarga dan 15 mangsa,” katanya.
Setelah menilai keadaan di lokasi, beliau berkata pihak bomba menasihati penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau kerana situasi semasa masih berbahaya.
Ketiga-tiga keluarga, termasuk tujuh kanak-kanak, berpindah ke PPS menggunakan kenderaan persendirian manakala satu keluarga seramai dua orang berpindah ke rumah saudara terdekat, kata Tiong.