Sukan

Kemalangan di SIC: Jorge Martin Alami Patah Tangan dan Kaki

Jorge Martin terjatuh akibat hilang kawalan jentera semasa Ujian Pramusim MotoGP 2025 di Litar Sepang, 5 Feb.

SEPANG: Juara dunia MotoGP, Jorge Martin disahkan tidak dapat menyertai ujian rasmi pramusim Sepang 2025 selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Menurut kenyataan di X oleh @MotoGP, pelumba Aprilia Racing itu telah dikejarkan ke hospital, dipercayai di Nilai, Negeri Sembilan untuk pemeriksaan lanjut sejurus selepas insiden tersebut. Hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa Martin mengalami kecederaan patah tangan kanan dan patah kaki kiri.

“Beliau akan kekal di hospital semalaman dan esok akan terbang kembali ke Eropah untuk menjalani pembedahan pada tangan kanan dan kaki kirinya,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, pelumba Sepanyol berusia 27 tahun itu, melalui satu hantaran di Instagramnya, meluahkan rasa kecewa kerana terlepas peluang memulakan musim baharu dengan baik.

“Bukan permulaan terbaik untuk musim 2025. Tapi Martinator pasti sentiasa kembali lebih kuat,” katanya.

Insiden malang itu menyaksikan Martin tercampak dari jentera baharu Aprilia RS-GP di Selekoh 2, berpusing di udara sebelum terhempas dengan kuat di atas trek asfalt.

Sebelum kejadian tersebut, pelumba yang digelar ‘Martinator’ itu juga mengalami satu lagi kemalangan di Selekoh 1. Dalam sesi semalam, catatan masa terbaiknya adalah dua minit dan 1.321 saat (s) pada pusingan kelima.

Sementara itu, juara dunia 2021, Fabio Quartararo mencatatkan masa terpantas pada hari pertama dengan 1:57.555s.

Ujian musim sejuk selama tiga hari itu akan diteruskan hari ini dan berlangsung sehingga Jumaat.

Related posts
Sukan

Terengganu FC Gagal Layak Ke Separuh Akhir ACC 2024/25 Selepas Kalah Kepada BG Pathum United

Safawi Rasid (kanan) meledak gol pada minit ke-93 dan menjaringkan gol kedua peribadinya selepas…
Read more
Sukan

Rashford Sertai Aston Villa Secara Pinjaman Hingga Akhir Musim

Rashford yang digugurkan daripada skuad United pada Disember pernah menjelaskan bahawa mahukan…
Read more
Sukan

Piala Malaysia: Sri Pahang atasi Sabah 3-2, bakal cabar JDT di pentas final

Kali terakhir skuad Tok Gajah beraksi di final Piala Malaysia adalah pada 2014, apabila muncul juara…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *