
Ketibaan musim durian telah memberi pendapatan tambahan kepada peniaga akok, Abd Malik Abd Hamid apabila akok duriannya laris terjual setiap hari dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
Abd Malik, 64 menyatakan bahawa dia mula membuka gerainya pada pukul 7 pagi dan berjaya menjual semua kuih tradisional itu yang menggunakan 100 ulas durian premium seperti Musang King, D24 dan Udang Merah dalam tempoh empat jam.
Beliau yang juga seorang pesara tentera telah menjelaskan bahawa pemilihan durian premium dilakukan berdasarkan beberapa faktor, termasuk tekstur yang lembut, warna kuning keemasan dan bentuknya yang tidak berair berbanding durian kampung.
“Pada permulaan iaitu tahun lepas (2023), saya ambil sedikit isi durian saja dengan menggunakan sudu untuk diletak di dalam setiap bancuhan kuih akok yang separuh masak, tapi saya berpandangan cara yang demikian tidak memuaskan.
“Sehinggalah dua bulan lepas saya ubah dengan meletakkan seulas durian bagi sebiji akok dan ia nampak lebih menonjol. Pelanggan yang membelinya pula lebih seronok dan puas hati,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kini, akok durian yang dijual oleh Abd Malik pada harga RM5 sebiji di Kampung Baru menjadi hidangan istimewa yang menarik perhatian, termasuk pelancong dan telah tular di media sosial.
Selain akok durian, Abd Malik yang dibantu isterinya, Saniah Mohammed Salim juga menjual pelbagai jenis akok lain seperti akok pandan, akok berlauk, akok gula kabong dan bingka kelapa.
Ditanya bagaimana dia dapat bertahan hampir 15 tahun berniaga akok secara tradisional di ibu kota, Abd Malik menjelaskan bahawa ia disebabkan minat mendalamnya terhadap kuih tradisi tersebut yang telah ada sejak zaman dahulu.
“Sebelum berpindah ke Kampung Baru, saya menjual akok di AU2, Taman Keramat dan pernah melalui pasang surut dalam perniagaan ini termasuk tiada pembeli, ratusan biji akok tidak habis dijual dan untung pula tidak banyak.
“Pun begitu, saya tak tinggal (menjual), saya yakin suatu hari nanti orang akan pandang dan menghargai kuih akok ini seperti mana apa yang saya capai hari ini,” katanya yang turut melakukan kerja lain seperti pengawal keselamatan secara sambilan.