
Teka-teki netizen akhirnya terjawab apabila Syasya, penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla mengesahkan bahawa dia kini hamil. Syasya, nama sebenar Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, mengumumkan berita gembira tersebut melalui hantaran terbaru di akaun Instagramnya semalam.
“Alhamdulillah,” tulisnya ringkas.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan beberapa foto yang jelas menunjukkan baby bump Syasya serta kebahagiaannya bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie.
Foto-foto itu juga memaparkan Syasya memegang helaian akhbar yang mengumumkan mereka bakal menyambut kelahiran bayi sulung. Namun, Syasya tidak berkongsi butiran terperinci mengenai usia kandungannya.
Di ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah atas berita gembira tersebut. Sebelum ini, pada awal bulan lalu, tular video yang menunjukkan baby bump Syasya yang semakin membesar semasa berjalan di dalam air bersama suaminya.
Pada bulan Jun lalu, Syasya pernah menafikan khabar angin tentang kehamilannya menjelaskan bahawa ‘baby bump’ yang didakwa ramai itu hanyalah perut buncit dan pertambahan berat badan.
Syasya dan Nasrullah melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup pada 21 April lalu.