
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menggunakan teknologi pengimbas tiga dimensi (3D) bagi membina semula lokasi kejadian dalam usaha membantu siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan bahawa teknologi canggih ini mampu menghasilkan gambaran digital yang lebih jelas mengenai lokasi di mana Teoh ditemukan meninggal dunia 15 tahun lalu.
“Setelah sekian lama, saya dapati struktur lokasi sedikit berubah akibat peredaran masa namun polis cuba membina semula kemungkinan kejadian dalam bentuk 3D.
“Sejauh mana teknologi ini dapat membantu dan memperkemas siasatan, kita tunggu hasil dapatan dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan siasatan semula di lokasi kematian bekas pembantu Exco Selangor itu di Plaza Masalam, di sini, malam tadi.
Siasatan tersebut bermula sejak jam 10 pagi pada Selasa.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh ibu bapa mendiang Teoh terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat.
Teoh ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, di sini, selepas memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, yang juga memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Sementara itu, Mohd Shuhaily memaklumkan bahawa lima pasukan khas telah ditubuhkan untuk menjalankan siasatan sejak kematian Teoh dilaporkan. Berdasarkan maklumat terkini, lebih 40 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Beliau juga yakin bahawa siasatan dapat diselesaikan sebelum Mei depan.