
Pasangan suami isteri berasal dari Sabah berjaya meneroka peluang perniagaan di Perth, Australia dengan menjadikan hidangan Malaysia, sate sebagai produk jualan utama. Perniagaan makanan kecil milik pasangan ini menjadi viral dan berjaya menarik perhatian rakyat Malaysias selepas dikongsikan oleh penggiat kandungan TikTok (@papanash).
Menurut Papa Nash, selain sate, perniagaan yang diusahakan oleh Zul bersama isterinya turut menjual beberapa menu popular Malaysia yang lain. Dikenali sebagai Satay Bro di sana, antara menu lain yang sempat dirakam oleh Papa Nash termasuklah ayam goreng berempah.
Menurutnya lagi, satu set sate dijual dengan harga 12 AUD (RM36). Selain dijual set, sate tersebut juga dijual secara berasingan iaitu secucuk sate dijual pada harga 2 AUD (RM6). “Kebanyakan sate mempunyai lemak di bahagian tengah tetapi sate yang dijual ini sangat padat dan tebal.
“Sate ini dijual secara set dengan harga harga 12 AUD (RM36) atau 2 AUD (RM6) untuk secucuk. Ia juga dihidangkan bersama kuah kacang, bawang, timun dan nasi impit,” ujar Papa Nash. Ujar Papa Nash, gerai Satay Bro itu dibuka seawal jam 2 petang dan biasanya menamatkan operasi sekitar jam 5 petang.
Secara purata, mereka akan berjaya menjual kira-kira 400 batang sate setiap hari. Ini merupakan pencapaian yang baik bagi perniagaan yang baru dibangunkan dalam masa beberapa bulan sahaja.
Saban hari, barisan pelanggan yang beratur di gerai Satay Bro dikatakan semakin panjang dari semasa ke semasa. Hal ini disebabkan, sate yang disediakan Encik Zul dan isterinya di Satay Bro sangat lazat sehingga menarik ramai pelanggan.
Berdasarkan penilaian yang diberikan oleh penggiat kandungan tersebut, hidangan sate di Satay Bro telah mendapat 10/10. “Penilaian (setinggi) ini bukan mudah untuk diberikan tetapi sate yang disajikan memang benar-benar lazat,” jelas Papa Nash.
Sumber: thepapanash via TikTok