
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dengan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Istiadat ini dimulakan dengan majlis akad nikah di Istana Abdulaziz, Pahang diikuti dengan Istiadat Berinai pada hari berikutnya. Istiadat Bersanding dijadualkan pada hari Ahad ini, dan semua acara akan disiarkan melalui dua layar besar di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) Satu dan di Tasik KotaSAS.
Zahari turut menyatakan bahawa pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi sepanjang istiadat Perkahwinan Diraja tersebut.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah juga telah bertitah mengenai perkahwinan anak perempuan baginda dan mendoakan agar semua proses istiadat berjalan lancar.
“Semoga majlis yang akan diadakan ini berjalan lancar, penuh keberkatan dan diredai Allah SWT serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina ini akan kekal hingga ke jannah” titah Al-Sultan Abdullah.