
Taylor Swift menyuarakan sokongan kepada calon presiden Demokrat, Kamala Harris pada hari Rabu selepas debat presiden Amerika Syarikat (AS) antara Harris dan bekas Presiden Republikan, Donald Trump.
Dalam satu kiriman di Instagram, selebriti terkenal itu menyatakan bahawa beliau akan mengundi Harris dalam pilihan raya AS pada 5 November yang dijangka berlangsung dengan sengit berdasarkan tinjauan semasa.
“Saya akan mengundi Kamala Harris dan Tim Walz dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
“Saya menyokong @kamalaharris kerana beliau memperjuangkan hak dan nilai yang saya percaya memerlukan seorang pejuang untuk mempertahankannya,” kata Swift.
Sokongan penyanyi terkenal itu merupakan yang terbesar dari kalangan industri hiburan untuk Kamala Harris dengan ramai pelakon dan pembuat filem Hollywood turut memberi sokongan kepada naib presiden AS tersebut.
Swift turut memuat naik gambar dirinya bersama kucingnya dengan kapsyen “wanita tanpa anak bersama kucing,” sebagai sindiran terhadap kenyataan JD Vance (calon naib presiden Republikan) yang pernah menyifatkan beberapa pemimpin Demokrat dengan istilah itu dalam sebuah wawancara pada 2021.
Vance kemudian menjelaskan bahawa kenyataannya hanyalah bersifat sindiran. Sebelum ini, Swift juga pernah menyokong Demokrat termasuk menyatakan sokongan kepada Presiden Joe Biden dalam pilihan raya 2020.