Viral

Hakim Benarkan Penggantungan Pelaksanaan Hukuman Da’i Syed

Isteri Da’i Syed, Nurulhana Ismail (dua dari kanan) bergambar bersama Abu Bakar dan barisan peguam lain yang berjaya dalam permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman merogol seorang wanita.

Selepas 21 hari berada di Penjara Kajang kerana merogol seorang wanita lima tahun lalu, pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, dibebaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian setelah meluluskan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Syed Shah Iqmal, 29 untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan didengar dan diputuskan.

Ini berkaitan dengan rayuan bapa kepada seorang anak itu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 Ogos lalu yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atasnya untuk satu pertuduhan.

Ketika dihubungi, Datuk Abu Bakar mengesahkan perkara itu dan menyatakan bahawa sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan dilakukan mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, Syed Shah Iqmal bertindak sebagai pemohon manakala pihak pendakwaan hadir sebagai responden di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dengan beberapa syarat tetapi beliau tidak mendedahkan butiran syarat secara terperinci.

Datuk Abu Bakar juga menyatakan bahawa pemohon diwakili oleh peguam bela dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak iaitu Datuk Wan Azmir Wan Majid, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Muhammad Amin Othman.

Sementara itu, pengurusan kes rayuan ditetapkan pada 24 September ini.

Pada 30 Ogos lalu, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atasnya atas satu pertuduhan merogol seorang wanita lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memerintahkan hukuman tersebut dilaksanakan segera selepas mendapati beliau bersalah, kerana gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusan penghakiman, hakim menyatakan bahawa pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak mencukupi untuk mematahkan kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Berdasarkan kesalahan tersebut, beliau yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Namun, Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, beliau juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul seorang pelajar kolej swasta, tetapi dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Related posts
Viral

Khabib Nurmagomedov Dikeluarkan Dari Penerbangan

Khabib Nurmagomedov. Bekas juara UFC, Khabib Nurmagomedov telah dikeluarkan dari penerbangan…
Read more
KesihatanViral

hMPV: Jangkitan Bermusim, Tiada Keperluan untuk Amaran Awam atau Panik

Gambar hiasan Tidak perlu amaran awam atau panik mengenai Human Metapneumovirus (hMPV) kerana…
Read more
ViralTempatan

PETRONAS Dinobat Jenama Minyak & Gas Terkuat Dunia 2024

PETRONAS Diiktiraf Jenama Minyak & Gas Paling Kukuh Di Dunia Pada 2024 KUALA LUMPUR: PETRONAS…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *