Ira Kazar telah memohon agar bekas suaminya, Syamsul Yusof untuk membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 tetapi Mahkamah Rendah Syariah di sini hanya membenarkan RM200 pada hari Rabu.
Peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili pengarah filem ‘Mat Kilau’ yang berusia 40 tahun itu menyatakan bahawa Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din telah membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Menurutnya, Syamsul yang juga dikenali sebagai Mohd Shamsul Md Yusof sebagai plaintif, tidak bersetuju dengan kadar tersebut memandangkan isu perceraian telah diselesaikan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor tiga minggu lalu.
“Pertikaian rumah tangga mereka selesai ketika prosiding pada hari pertama sebutan kes di sana, sekali gus menjimatkan masa serta kos pihak Ira selaku defendan dan anak guam.
“Pada prosiding hari ini, anak guam saya mahu menarik balik permohonan cerainya tetapi pihak defendan pula minta kos,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menyatakan bahawa Ira yang juga dikenali sebagai Faghirah Fatini Kazaruddin, 29 tidak hadir pada prosiding permohonan cerai di sini pada 27 Ogos lalu dan hanya memaklumkan terdapat kes lain di Kuala Selangor.
Sementara itu, peguam syarie, Mohammad Fadhil Abdul Razak yang mewakili anak pelakon veteran itu, berkata pihaknya menuntut kos tersebut kerana plaintif telah menyusahkan defendan dengan tidak berterus terang mengenai lafaz taklik yang wujud ketika prosiding sebelum ini.
“Mahkamah membenarkan kos sebanyak RM200 tetapi saya kesal, lafaz cerai pada Jun lalu tetapi tindakan yang diambil pada Ogos bukan merujuk pada pengesahan lafaz cerai tersebut.
“Sebaliknya merujuk kepada permohonan cerai biasa,” katanya.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan perceraian Syamsul dan Ira melalui talak satu. Pengesahan tersebut dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib selepas beliau berpuas hati dengan pengakuan Ira mengenai pelanggaran taklik yang wujud.
Syamsul dan Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi telah berkahwin di Selatan Thailand pada 6 Januari 2023. Berita mengenai pernikahan itu disahkan oleh Syamsul sendiri menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Pernikahan tersebut didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun yang sama.