Hiburan

Jangan Pandang Belakang 2: JPB2 Akan Muncul di 14 Negara, Tanda Kejayaan Filem Seram Malaysia

David bersama anaknya, Teo Jackhu yang juga merupakan Ketua Bahagian Pengedaran Filem MIG.

Filem terbitan Metrowealth International Group (MIG), Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2) telah mencatat rekod tersendiri apabila dijadualkan ditayangkan di 14 negara termasuk Malaysia.

Menurut penerbit David Teo, selepas kejayaan filem Jangan Pandang Belakang (JPB) di enam negara Asia Tenggara, beliau berhasrat untuk mengulangi kejayaan tersebut dengan meluaskan tayangan JPB2 ke seluruh dunia dan mengembalikan fenomena filem seram Malaysia.

Beliau juga tidak menyangka bahawa JPB2 menerima sambutan yang sangat baik daripada pengedar filem antarabangsa meskipun filem JPB telah mencuri perhatian penonton dan mencetuskan fenomena 17 tahun lalu.

“Ini satu kejutan luar biasa apabila pengedar antarabangsa berminat untuk edar filem kita. Ini bermaksud filem tempatan mula menjelajah negara luar, inilah realiti dan bukan cakap-cakap saja.

“Ada negara yang tidak pernah tayangkan filem Melayu dan mereka lihat terdapat keunikan pada kisah seram yang kita hasilkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman tayangan global JPB2 di ibu pejabat MIG di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah David, negara-negara yang telah menyatakan persetujuan setakat ini termasuk Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Vietnam, Laos, Filipina, Thailand, Kemboja, Turkiye, New Zealand, Rusia dan Myanmar.

Sebelum ini, filem Jangan Pandang Belakang hanya berjaya menembusi pasaran di enam negara iaitu Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Malaysia.

“Mungkin sebelum ini saya tersilap mencari pengedar tetapi kali ini, saya harap kutipan JPB2 akan lebih memberangsangkan.

“Saya harap kita dapat mengutip sekurang-sekurangnya RM30 juta untuk keseluruhan negara. Sebelum ini pun, JPB telah berjaya mencatat kutipan RM7.4 juta,” ujarnya lagi.

Filem JPB2 diarahkan oleh Pierre Andre dan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narina dan ramai lagi.

Filem ini mengisahkan kesinambungan saka keluarga Opah yang sedang mencari tuan baharu untuk didampingi tetapi terdapat halangan yang membawa kepada pelbagai kejadian menakutkan.

JPB2 dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam tempatan pada 21 November akan datang manakala tayangan di negara luar di rantau Asia dijadualkan seminggu atau sebulan selepas itu.

Dalam perkembangan lain, MIG juga telah menyelesaikan penggambaran bagi dua filem lain iaitu Dajal (Satu Malam Dipedajal) dan Citra Apartment yang dijadualkan untuk menemui penonton pada tahun 2025.

Related posts
Hiburan

Pelakon Bollywood Saif Ali Khan Ditikam Ketika Cuba Halang Penceroboh

Saif Ali Khan dilaporkan diserang dan ditikam di rumahnya pada awal pagi tadi. Pelakon Bollywood…
Read more
Hiburan

Amir Raja Lawak Kembali Berlakon Selepas Setahun Fokus Berniaga

Amir Raja Lawak kini sudah bersedia untuk kembali berlakon selepas setahun fokus berniaga. Pelawak…
Read more
Hiburan

Sufian Suhaimi dan Rania Al-Sadat: Cinta Lama Kembali Tertaut?

 Sufian Suhaimi berkongsi gambar Rania Al-Sadat dengan kapsyen ‘Masya-Allah Sayangku’ di…
Read more

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *