Bkeas vokalis band heavy metal terkenal Iron Maiden, Paul Di’Anno telah meninggal dunia pada usia 66 tahun. Kematian Di’Anno disahkan oleh syarikat rakaman Conquest Music pada hari Isnin, 21 Oktober.
Di’Anno menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Salisbury, Wiltshire, England selepas bertahun-tahun berjuang dengan masalah kesihatan yang serius. Paul Di’Anno yang dilahirkan dengan nama Paul Andrews pada 17 Mei 1958 di Chingford, Essex, England dikenali sebagai vokalis utama Iron Maiden dari tahun 1978 hingga 1981.
Beliau memainkan peranan penting dalam dua album pertama Iron Maiden, iaitu “Iron Maiden” (1980) dan “Killers” (1981). Walaupun tempoh beliau bersama band tersebut agak singkat, sumbangannya tetap signifikan dan diingati oleh peminat heavy metal di seluruh dunia.
Selepas meninggalkan Iron Maiden, Di’Anno terus berkarya dalam industri muzik dengan menyertai beberapa band lain seperti Gogmagog, Battlezone dan Praying Mantis. Beliau juga mengeluarkan album solo dan terus mengadakan konsert meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda akibat masalah kesihatan.
Iron Maiden melalui kenyataan rasmi di media sosial mereka, meluahkan kesedihan atas pemergian Di’Anno dan menghargai sumbangannya kepada band tersebut.
“Sumbangan Paul kepada Iron Maiden sangat besar dan beliau membantu kami dalam perjalanan sebagai band selama hampir lima dekad,” tulis kenyataan itu. Steve Harris pengasas dan pemain bass Iron Maiden turut menyatakan rasa sedihnya atas kehilangan Di’Anno.
“Saya sangat sedih atas pemergiannya. Mendiang selalu suka tertawa semasa hidup. Dia sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam hidupnya. Kami akan merasai kehilangan ini dengan mendalam,” kata Harris.
Paul Di’Anno akan terus dikenang sebagai salah satu ikon dalam dunia muzik heavy metal. Sumbangannya kepada Iron Maiden dan industri muzik secara keseluruhan akan sentiasa diingati oleh peminat dan rakan-rakan muziknya.