Aksi di gelanggang dua dan tiga terjejas ekoran air hujan membasahi persekitaran, sekali gus pemain terpaksa beredar terlebih dahulu bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan. – Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak, terutamanya penganjur dan peminat sukan badminton, atas insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena yang berlaku semalam.
Kejadian tersebut telah mengganggu perjalanan Badminton Terbuka Malaysia dan menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan sementara.
Menurut kenyataan PSM, kebocoran itu berlaku kerana proses penggantian bumbung lama yang telah digunakan sejak 1998. Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil, memaklumkan bahawa projek penggantian bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula pada pertengahan 2024 dan dijangka siap dalam tempoh setahun. Walaupun begitu, Axiata Arena kekal dibuka untuk acara sepanjang tempoh tersebut.
“Kebocoran berpunca daripada titisan air hujan yang mengenai gelanggang. PSM, bersama kontraktor, bertindak pantas mengalihkan air dan memastikan gelanggang dapat digunakan semula pada jam 8 malam. Usaha tambahan turut diambil bagi mengelakkan masalah serupa berulang pada hari berikutnya,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Untuk mengelakkan kejadian ini berulang, Iliyas memaklumkan lebih 10 kakitangan akan ditugaskan untuk memantau bahagian bumbung sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau turut menambah bahawa JKR dan kontraktor sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan. “Kawasan bermasalah telah dikenal pasti, dan tindakan segera telah diambil untuk mengatasinya. Mesyuarat bersama JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor telah diadakan pada 30 Disember 2024 untuk menegaskan kepentingan memastikan acara tidak terganggu. Kontraktor juga memberikan jaminan bahawa langkah-langkah sewajarnya telah dan akan terus diambil bagi menangani isu ini,” katanya.