
TOKYO: Lima tahun selepas kes pertama COVID-19 dikesan di Jepun, data kerajaan menunjukkan lebih 70 juta rakyat dijangkiti virus itu sehingga Mac tahun lalu, dengan jumlah kematian mencecah 130,000 hingga Ogos.
Menurut laporan Kyodo, walaupun kadar kematian tahunan menurun selepas lonjakan varian Omicron pada 2022, angka kematian masih jauh lebih tinggi berbanding influenza.
Profesor penyakit berjangkit di Universiti Tokyo, Yuki Furuse, menyatakan bahawa pembangunan pesat vaksin berkesan dan langkah pencegahan lain telah membantu mengurangkan gejala wabak. Beliau menegaskan usaha untuk mengurangkan beban COVID-19, termasuk penubuhan sistem kawalan jangkitan asas, mesti diteruskan.
Ujian darah yang dijalankan kementerian kesihatan pada Mac 2023 di 22 daripada 47 wilayah Jepun mendapati 60.7 peratus penduduk memiliki antibodi COVID-19. Dengan populasi Jepun sekitar 120 juta, sekurang-kurangnya 73 juta orang dipercayai telah dijangkiti sekurang-kurangnya sekali.
Statistik menunjukkan kematian berkaitan COVID-19 dari 2020 hingga Ogos 2024 berjumlah sekitar 132,000, berbanding 3,600 kematian akibat influenza dalam tempoh yang sama.
Selepas COVID-19 diklasifikasikan setara dengan influenza bermusim pada Mei 2023, kerajaan menghentikan laporan harian kes baharu, dengan data kini hanya diperoleh daripada 5,000 institusi perubatan terpilih.
Walaupun kadar kematian akibat COVID-19 di Jepun lebih rendah berbanding negara maju lain, pandemik memberi kesan besar, termasuk penurunan kadar kelahiran dan peningkatan kes bunuh diri.
Untuk memperkuat persediaan menghadapi wabak, sebuah organisasi baharu berdasarkan model CDC Amerika Syarikat akan ditubuhkan pada April bagi menasihati kerajaan mengenai penyakit berjangkit utama di masa hadapan.