
Selepas Manchester City dan Liverpool, kini giliran Chelsea mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Bournemouth dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
The Blues mendominasi permainan, namun sering kali terhalang oleh pertahanan kukuh dan penjaga gol Bournemouth yang sering tampil cemerlang.
Bekas pemain Manchester City, Cole Palmer membuka tirai jaringan pada minit ke-13 untuk membawa Chelsea mendahului dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Di babak kedua, Justin Kluivert menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan sebelum Antoine Semenyo menggandakan kelebihan buat Bournemouth pada minit ke-68.
Bournemouth hampir meraih kemenangan pertama mereka di Stamford Bridge sejak 2019 namun sepakan percuma Reece James memusnahkan harapan mereka, membawa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.