Kisah perjuangan ‘Tok Janggut’ yang dipentaskan menerusi teater Tok Janggut 13 Liang patut dipertimbangkan untuk diangkat ke layar perak kerana mesej perjuangan pahlawan Melayu serta plot penceritaannya yang menarik.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris menyatakan bahawa jika teater Mat Kilau boleh difilemkan maka tidak mustahil perkara yang sama boleh dilakukan untuk Tok Janggut 13 Liang yang diadaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara, Allahyarham S. Othman Kelantan, bertajuk Perwira.
“Agensi berkaitan seperti FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) berkemungkinan mempunyai dana boleh menerbitkan filem seumpama ini.
“JKKN tidak menerbitkan filem kerana fungsi kami menjurus kepada seni persembahan pentas dan berbeza dengan seni perfileman,” katanya pada sidang media selepas menonton teater itu yang dipentaskan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini malam tadi.
Mohd Amran menyatakan bahawa pementasan teater seperti itu bertujuan untuk mengangkat karya agung di 14 negeri dan Kelantan memilih untuk menonjolkan perjuangan tokoh tempatan ‘Tok Janggut’ yang nama sebenarnya ialah Mat Hassan Mat Munas.
Beliau juga menyebut bahawa selain mengetengahkan perjuangan tokoh tempatan, matlamat pementasan ini adalah untuk memberi kesedaran mengenai pentingnya menjaga kedaulatan negara terutamanya kepada generasi muda.
“Jika dilihat jalan cerita yang dipaparkan dalam teater ini, matlamatnya untuk memastikan Tanah Melayu dan orang Melayu itu sendiri ada prinsip perjuangan mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir luar dan mesej yang disampaikan jelas serta tidak terlalu berat,” katanya.
Sementara itu, pengarah teater ‘Tok Janggut 13 Liang’, Jihan Meghaa Ismail menyatakan bahawa teater tersebut mengangkat kisah perjuangan Tok Janggut dalam menentang ketidakadilan Inggeris yang berkaitan dengan undang-undang cukai yang membebankan rakyat Kelantan.
Jihan Meghaa menyatakan bahawa beliau sangat tertarik dengan tajuk ’13 Liang’ kerana ramai yang tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian tersebut yang diceritakan oleh cucu-cicit Tok Janggut.
“Definisi ’13 Liang’ merujuk kepada ‘lubang tikaman’, iaitu keberanian Tok Janggut yang menikam badan orang Inggeris sebanyak 13 kali dan itulah antara elemen yang saya cuba tonjolkan dalam teater ini,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa pementasan teater yang berlangsung selama satu jam 20 minit itu akan diadakan di Kelantan pada 18 dan 19 Oktober.
Teater ini menampilkan barisan pelakon terkemuka termasuk Datuk Hilal Azman yang memegang watak utama sebagai Tok Janggut dan Hasnul Rahmat yang berperanan sebagai pemerintah British dikenali sebagai ‘Lagham Carter’.