Tindakan seorang wanita, Adeline Chang yang membuat hantaran jelik di Facebook mengenai seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mengakibatkan padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 ke atasnya.
Adeline yang dikenali dengan nama Chang Pei Yi, 24, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman. Mahkamah juga memerintahkan wanita bujang itu dipenjara selama enam bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim tersebut menasihati OKS agar mengingat kedudukannya sebagai seorang pempengaruh dan hanya membuat hantaran yang positif.
“Kamu menyentuh isu kanak-kanak dengan menggunakan perkataan jelik, telah menimbulkan rasa kurang senang terhadap pihak yang dituduh.
“Walaupun kamu kata, wujud masalah peribadi berhubung isu hutang, namun jika membuat komen sebegitu, ia menyentuh maruah kanak-kanak dan keluarga terbabit,” katanya.
Fuad juga menasihati wanita tersebut agar tidak memperpanjangkan isu peribadi kerana ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada individu yang tidak bersalah terutama dalam kes melibatkan seorang kanak-kanak.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook ‘Adeline Chang’ untuk secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengandungi gambar dan teks jelik dalam bahasa Mandarin dengan niat menyakiti hati orang lain, pada jam 11 malam, 30 Mei lalu.
Hantaran itu dilihat pada jam 8 pagi 1 Jun di Menara 1 MCMC, Cyberjaya dan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mengikut fakta kes, Adeline membuat hantaran jelik tersebut berikutan perselisihan faham dengan ibu kanak-kanak terbabit.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon agar Adeline dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan dianggap sebagai pembuli siber.
“Perbuatan tertuduh meletakkan gambar kanak-kanak dan mengatakan mangsa adalah anak hasil luar pernikahan adalah tidak wajar dan perlu dipandang serius,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Adeline merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Dia hanya memperoleh pendapatan menerusi ‘review’ barangan secara dalam talian.
“Anak guam juga mempunyai penyakit tiroid dan kini menerima kaunseling berkala untuk rawatan psikologi,” katanya.